Unjuran Stabil Oleh Fitch Ratings Pengurusan Kewangan Kerajaan Baik – Najib

KUALA LUMPUR – Semakan menaik Fitch Ratings ke atas unjuran Malaysia kepada stabil sesungguhnya membuktikan dasar ekonomi dan pengurusan kerajaan yang baik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“Saya gembira kerana Fitch, agensi penarafan antarabangsa, mengekalkan penarafan kredit Malaysia dan menyemak naik unjuran kita kepada stabil,” katanya dalam muat naik terkini dalam Facebook dan Twitter beliau.

 

Fitch Ratings mengesahkan penarafan penerbit mata wang asing jangka panjang pada ‘A-‘ dan IDR mata wang tempatan pada ‘A’.

 

Penarafan terbitan bon mata wang tempatan tidak bercagar senior Malaysia juga disahkan pada ‘A’.

 

Unjuran ke atas IDR jangka panjang itu disemak menaik kepada stabil daripada negatif.

 

Dalam membuat penarafan ke atas Malaysia, Fitch berkata, kewangan fiskal negara semakin meningkat sejak tahun lepas dengan defisit umum kerajaan susut daripada 4.6 peratus Keluaran Dalanm Negara Kasar (KDNK) pada 2013 kepada 3.8 peratus bagi 2014.

 

Hutang kerajaan secara amnya juga menguncup daripada 54.7 peratus pada akhir 2013 kepada 53.9 peratus pada akhir 2014.

 

Fitch berkata kemajuan yang direkodkan ke atas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan serta reformasi subsidi bahan api, turut menyokong kewangan fiskal,

 

Defisit fiskal juga diunjurkan terus mengecil tahun ini walaupun harga minyak masih rendah.

 

Ia berkata kedudukan pasaran modal tempatan yang kukuh turut menyokong keperluan pembiayaan domestik negara.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.