SPRM Tahan 21 Pekebun Sayur

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 21 pekebun sayur yang cuba merasuah anggota penguatkuasa di Cameron Highlands ketika Ops Sejuk, semalam.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, SPRM dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengadakan pemantauan di kawasan Cameron Highlands. Hasil pemantauan ini, SPRM mendapati aktiviti penerokaan kebun secara haram terus berlaku.

 

“Hasil pemantauan didapati beberapa pengusaha kebun cuba menyogok pihak penguatkuasa bagi melindungi kegiatan salah mereka dan mengelak tindakan diambil.

 

“Sogokan diberikan bagi mengelakkan tindakan atas pelbagai kesalahan, antaranya penerokaan tanah secara haram, melanggar syarat Lesen Pendudukan Sementara (LPS), melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati)  dan menyimpan racun tidak berjadual,” katanya dalam satu  kenyataan media, hari ini.

 

Operasi yang dinamakan sebagai “Ops Sejuk” ini telah dijalankan dengan kerjasama MKN sejak enam bulan lalu.

 

Katanya, melalui Ops Sejuk SPRM telah membuat tangkapan serentak di beberapa kawasan di Cameron Highlands bermula semalam.

 

“Seramai 21 pekebun sayur ditahan dan salah seorang daripadanya merupakan warga Bangladesh dalam dua hari operasi.  Kesemua 16 suspek ditahan di premis masing-masing manakala lima suspek lagi menyerah diri di Pejabat SPRM Perak di Meru, Ipoh termasuk dua orang pada pagi ini (semalam).

 

“Warga Bangladesh berusia 42 tahun yang ditahan telah menetap selama 10 tahun di Malaysia dipercayai mempunyai kepentingan dalam sebuah syarikat di Cameron Highlands bernilai RM500,000 dan kereta Toyota Camry baru,” katanya.

 

Menurut Mohd Shkuri antara kawasan di mana suspek menjalankan aktiviti perlakuan rasuah termasuk Ringlet, Tanah Rata, Tringkap, Brinchang, Kampung Raja, Kuala Terlah dan Kampar.

 

“Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 68 tahun dan dilepaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

 

“Mereka yang ditahan didapati  melakukan kesalahan di bawah seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana memberi suapan kepada penguatkuasa. Pekebun-pekebun sayur yang aktif di kawasan seluas lebih 165 ekar (41 hektar), didapati membayar rasuah sehingga RM30,000,” katanya.

 

Katanya, isu ini telah lama berlaku iaitu sejak tahun lalu dan tindakan lebih tegas perlu diambil oleh pihak penguatkuasa berwajib ke atas pencerobohan tanah dan tidak dibiarkan begitu sahaja selain mengelakkan penerokaan tanah yang baharu.

 

“SPRM berharap tindakan susulan akan diambil oleh pihak berkuasa yang terbabit termasuklah tindakan penguatkuasaan berkaitan Akta racun dan Pati,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.