Mengapa Budak Melayu Sering Jadi Korban Mercun?

MERCUN seakan-akan tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat Malaysia. Tidak kira apa jenis perayaan, aktiviti membakar mercun dilihat menjadi kemestian. Meskipun membakar mercun adalah tradisi kaum Cina merayakan sambutan Tahun Baharu Cina, namun pelbagai kaum turut sama menumpang kemeriahannya termasuk masyarakat Melayu.

 

Jika dilihat daripada aspek perpaduan, ia memang bagus kerana mencerminkan semangat 1Malaysia yang berkongsi kegemaran yang sama. Namun, dalam masa sama mercun juga mengundang padah kerana saban tahun pasti ada kes kematian dan kecederaan parah dilaporkan.

 

Oleh sebab risiko dan juga pelbagai tragedi ngeri menyayat hati yang disebabkan oleh mercun, kerajaan kita telah mengharamkan pembakaran mercun seperti yang termaktub dalam Akta Bahan Letupan pindaan 1991.

 

Meskipun begitu, ia tidak mampu menerbitkan rasa keinsafan di hati masyarakat sebaliknya tragedi demi tragedi yang berlaku hanya menjadi bualan semusim dan seakan-akan tiada kesudahannya. Larangan dan pengharaman mercun juga dipandang sepi kerana kegiatan penyeludupan masih lagi beroperasi.

 

Baru-baru ini seorang kanak-kanak berusia empat tahun di Tanjung Sepat, Banting dilaporkan cedera parah seawal hari ke lima kita berpuasa. Persoalannya, mengapa Melayu sahaja yang dilaporkan mati dan cedera parah setiap kali menjelang Ramadan dan Syawal?

 

Mengapa jarang sekali kedengaran nahas terjadi semasa sambutan Tahun Baharu Cina? Ini bukan persoalan rasis tetapi perlu dikupas untuk mencari punca sebenar kepada permasalahan yang boleh dianggap sebagai isu nasional ini.

 

Jika kita kaji dan selidik, masyarakat Cina sebenarnya membakar mercun ketika sambutan Tahun Baharu Cina kerana mengikut kepercayaan agama mereka ia boleh menghalau semangat jahat, membawa kekayaan serta salah satu bentuk komunikasi bagi kaum mereka.

 

Namun demikian, orang Melayu meniru budaya masyarakat Cina ini secara semberono sedangkan dalam agama Islam, kita disuruh untuk melakukan sebanyak mungkin amalan dalam bulan Ramadan dan meraikan kedatangan Syawal sebagai tanda kejayaan kita berpuasa dan melawan hawa nafsu selama sebulan. Tidak perlu membakar mercun dalam meraikan kejayaan itu kerana itu adalah perbuatan yang sia-sia, membazir dan berbahaya.

 

Sedar atau tidak, majoriti masyarakat Cina hanya membakar mercun ‘papan’ yang berwarna merah yang digantung memanjang manakala masyarakat Melayu gemar membakar pelbagai jenis mercun daripada jenis pop, rocket, naga, lebah, ketupat, mancis, telur sehinggalah ke jenis mercun bola yang sangat popular.

 

Masyarakat Cina sekadar mengikut tradisi dan bukan beradu kekuatan. Biasanya ia dibakar bersama keluarga dengan pengawasan orang dewasa. Ini berbeza dengan masyarakat Melayu yang gemar berlawan dan berlumba tidak kira masa.

 

Kanak-kanak yang balik daripada mengaji pun boleh saling melontar mercun. Tidak puas hati dengan mercun yang ada, ia diubahsuai untuk mendapatkan kesan yang lebih hebat dan bunyi yang lebih kuat. Dalam konteks ini, tidak dinafikan orang Melayu amat kreatif dan inovatif tetapi malangnya kelebihan yang ada disalahguna dan yang paling menyedihkan dilakukan tanpa ilmu pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi.

 

Alangkah baiknya jika kanak-kanak dan remaja Melayu menggunakan minat yang ada dalam mata pelajaran Kimia. Sudah pasti negara kita dapat melahirkan ramai pakar dalam bidang tersebut. Namun yang berlaku sebaliknya. Anak-anak Melayu kita lebih menyukai keseronokan tanpa memikirkan kesan.

 

Oleh kerana permintaan mercun yang tinggi, penyeludupan mercun masih berleluasa walaupun penjualannya diharamkan. Orang Melayu pantang dilarang. Apa yang dilarang itulah yang disukainya. Apabila diharamkan, masyarakat mencari alternatif lain termasuklah mencipta meriam buluh yang sangat berbahaya.

 

Meskipun menyedari risiko kecederaan dan kematian, ternyata orang Melayu sangat berani memperjudikan nyawa. Tetapi malangnya, keberanian itu digunakan ke jalan yang salah dan melanggar undang-undang.

 

Alangkah baiknya keberanian itu digunakan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara. Perbuatan itu lebih baik dan mulia serta mendapat pahala. Jika mati pun tidak terasa ralat berbanding mati ‘katak’ akibat bermain mercun dan meriam. Lebih sedih dan tragis lagi jika cedera parah dan cacat anggota. Bukan sahaja diri menderita tetapi menyusahkan ibu bapa dan anggota keluarga. Sudahlah memudaratkan diri sendiri, orang lain juga terpalit sama.

 

Justeru, seluruh anggota masyarakat perlu sedar akan perkara ini dan memikirkan risiko yang lebih dahsyat lagi seperti kebakaran dan letupan. Marilah segera meninggalkan kegemaran yang mengancam nyawa ini. Tambah-tambah lagi dalam keadaan ekonomi sekarang, kita seharusnya berjimat cermat dan tidak seharusnya membazir wang membeli mercun sebaliknya menyimpan untuk pelajaran dan masa hadapan.

 

Menyedari hakikat ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti anak-anak untuk memastikan kejadian ngeri dan kehilangan nyawa daripada berulang. Yang paling utama, ibu bapa perlu menjadi contoh dan model terbaik kepada anak-anak. Jika kita tidak mahu anak-anak bermain mercun, ibu bapa itu sendiri jangan membeli atau bermain mercun. Anak-anak perlu didedahkan dengan pengetahuan bahaya di sekeliling mereka dan cara-cara untuk melindungi diri.

 

Bayangkan jika anak-anak yang seawal usia empat tahun dibiarkan bermain mercun bersama kawan-kawan, mereka tidak tahu pun tentang bahaya yang menunggu. Tanggungjawab ini seharusnya dipikul oleh ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat untuk melindungi keselamatan anak-anak kita. Ironinya, sikap ambil tahu dan menyibuk amat perlu dalam masyarakat untuk sama-sama memantau dan membendung aktiviti berbahaya anak-anak.

 

Dalam bulan Ramadan yang mulia ini juga ada baiknya ibu bapa menerapkan ilmu keagamaan kepada anak-anak termasuk menekankan penghayatan sebenar Ramadan dan Syawal berbanding melebihkan hal-hal sambutan yang tidak perlu dan membazir.

 

Pihak kerajaan pula diharap dapat menangani isu ini dengan lebih serius dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat terhadap pengeluar, pengedar, penyeludup serta mereka yang bermain mercun sebagai pengajaran. Namun, kesemua tindakan ini tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa ada kesedaran dalam setiap individu itu sendiri. Pokok pangkalnya, tepuk dada tanya hati sama ada mahu terus hidup, mati atau cacat anggota akibat mercun. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.