Azmin Akui Selangor Berdepan Masalah Air

SHAH ALAM – Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengakui perkhidmatan bekalan air bersih di negeri itu bermasalah berikutan loji-loji rawatan air beroperasi pada kapasiti maksimum.

 

Menurutnya, berikutan keadaan tersebut, pengeluaran be­kalan air bersih untuk disalurkan kepada rak­yat di beberapa lokasi tertentu mengalami gangguan.

 

Bagaimanapun, beliau menafikan kekurangan bekalan air bersih disebabkan penyusutan rizab memandangkan simpanan sumber itu masih lagi mencukupi.

 

“Bekalan air mentah tidak ada masalah kerana simpanan air di empangan-empangan di Selangor masih mencukupi.

 

“Cuma bekalan air terawat (yang ada masalah kekurangan) kerana kapasiti loji-loji rawatan air sudah sampai ke tahap maksimum,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

 

Beliau mengulas ma­salah gangguan bekalan air bersih yang dilaporkan berlaku di beberapa lokasi termasuk Hulu Langat baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut menyatakan pihak­nya telah mengambil beberapa langkah proaktif bersama Kerajaan Pusat untuk mengatasi masalah bekalan air di Selangor seperti melaksanakan Projek Mitigasi Fasa Kedua yang dijangka siap pada September ini.

 

“Projek ini adalah untuk me­ngalihkan bekalan air dari kawasan utara ke selatan negeri ini bagi menampung keperluan pengguna. Ini kerana, permintaan bekalan air adalah lebih tinggi di kawasan selatan,” jelasnya.

 

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin turut menjelaskan, perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor akan dimuktamadkan paling awal Julai ini.

 

Katanya, setakat ini pihaknya dengan Kerajaan Pusat telah menyelesaikan tiga isu berbangkit me­libatkan perjanjian tersebut kecuali satu lagi isu yang ketika ini masih dalam peringkat penyelesaian.

 

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan isu-isu tersebut melainkan hanya menyerahkan kepada pertemuan yang selanjutnya selepas perbincangan dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili, 25 Jun lalu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.