Argentina Berpesta Gol Belasah Paraguay

CONCEPCION, Chile – Argentina memperaga persembahan terbaik sepanjang Copa America ketika membelasah Paraguay 6-1, hari ini sekali gus menempah final klasik bertemu Chile.

 

Angel di Maria menjaringkan dua gol dengan Marcos Rojo, Javier Pastore, Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain turut meledak menerusi permainan cemerlang yang diilhamkan bintang, Lionel Messi.

 

Argentina hanya meledak empat gol dalam empat perlawanan sebelum ini namun Messi berkata ia bukan disebabkan pasukan tidak bermain dengan baik.

 

“Kami ada bercakap mengenainya sebelum perlawanan itu dan kami berkata ia hanya kebetulan kami tidak meledak lebih jaringan kerana kami bermain dengan baik,” kata Messi.

 

“Hari ini, semua gol itu datang pada satu masa.”

 

Skuad bimbingan Gerardo Martino itu hanya memerlukan 15 minit untuk membuka tirai jaringan yang berpunca daripada sepakan percuma Messi yang disempurnakan Rojo.

 

Argentina menggandakan jaringan 12 minit kemudian, sekali lagi menerusi Messi selaku perancang apabila menghantar bola melepasi pertahanan Paraguay kepada Pastore yang melepaskan rembatan padu menewaskan Justo Villar.

 

Keadaan tambah parah buat Paraguay apabila kedua-dua penyerang utamanya, Derliz Gonzalez dan Roque Santa Cruz terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

 

Pengganti Santa Cruz, iaitu Lucas Barrios, memberi harapan apabila meledak jaringan sebelum babak pertama berakhir namun Argentina tambah mengganas pada babak kedua.

 

Seminit babak kedua bersambung, Pastore muncul perancang terhadap jaringan Di Maria yang turut meledak gol keempat Argentina pada minit ke-53.

 

Pada minit ke-80, hantaran Di Maria dari sebelah kiri disambar Aguero untuk gol kelima dengan Higuain melengkapkan jumlah jaringan dua minit kemudian. Argentina dijadual menentang tuan rumah Chile di pentas final, awal pagi Ahad ini. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.