Nenek Nyaris Jadi Mangsa Sang Bedal

MIRI: Seorang nenek terselamat daripada menjadi mangsa sang bedal apabila hanya dibaham di bahagian kaki kanan ketika sedang mandi di tebing Sungai Puteh, Suai di sini petang kelmarin.

Mangsa, Manggin Nueng, 65, dari Rumah Gerang, Suai cedera di bahagian betis dan tapak kaki sebelah kanan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tegageng, Suai sebelum dirujuk ke Hospital Miri malam kelmarin.

Mengimbas kembali detik cemas yang hampir meragut nyawanya, mangsa memberitahu ketika kejadian sekitar jam 3.30 petang Ahad lalu, dia bersama seorang anak perempuannya, Lucy Akau, 36, serta beberapa penduduk rumah panjang yang sama sedang mandi di sungai tersebut.

Difahamkan, Sungai Puteh merupakan sumber bekalan air utama untuk kegunaan harian penduduk rumah panjang terbabit memandangkan mereka masih belum mempunyai kemudahan bekalan air bersih.

Menurut Manggin, sebaik tiba di jeti tempat mandi yang dipanggil ‘jelatong’, dia terus turun ke sungai untuk berendam sambil berenang bersama beberapa penduduk lain.

“Ketika sedang berenang, tiba-tiba saya terasa ada suatu ‘benda’ membaham kaki kanan saya dan terasa amat sakit.

“Terdetik di hati saya ‘benda’ itu mungkin buaya, justeru saya lalu menjerit ‘parai aku, parai aku’ sambil meminta tolong,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di Hospital Miri semalam.

Serentak itu, Lucy yang sedang berada di atas jeti segera turun ke tebing sungai lalu menarik tangannya ke daratan manakala yang lain tidak mampu berbuat apa-apa kerana panik.

Menurut Manggin, berlaku tarik-menarik antara Lucy dan sang bedal hingga akhirnya reptilia ganas itu melepaskan gigitan pada kakinya.

“Ketika sampai di atas tebing, saya dapati betis dan tapak kaki kanan saya cedera dan memang sah dibaham buaya berdasarkan kesan luka,” katanya sambil memberitahu tidak menyedari akan kewujudan buaya berkenaan.

Mangsa memberitahu, buaya itu mungkin bukan ‘penghuni’ tetap di sungai itu sebaliknya tersesat kerana sepanjang tinggal di kawasan tersebut belum ada sebarang kes serangan buaya dilaporkan berlaku.

“Tambahan ketika kejadian bukan hanya saya seorang berada di dalam sungai malah ramai penduduk yang mandi-manda di situ seperti lazimnya,” ujanya sambil melahirkan rasa syukur kepada Tuhan kerana terselamat daripada menjadi mangsa bahaman buaya tersebut.

Menurut Lucy, dia terpaksa mengerah sehabis tenaga untuk menarik tangan ibunya ke atas tebing bagi mengelak ibunya daripada ditarik sang bedal ke dasar sungai.

“Saya terpaksa mengerah segala kudrat yang ada menyelamatkan ibu daripada ditarik dan seterusnya menjadi mangsa baham sang bedal tersebut hingga akhirnya reptilia ganas itu melepaskan gigitannya,” katanya ketika ditemui semasa menemani mangsa di hospital.

 http://www.theborneopost.com/2014/07/01/nenek-nyaris-jadi-mangsa-sang-bedal/#ixzz36Ciwaird

One thought on “Nenek Nyaris Jadi Mangsa Sang Bedal

  • December 22, 2018 at 10:10 am
    Permalink

    Merdeka puluh tahun?? Masih rakyat tiada air paip??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.