MB Selangor Tetap Milik PKR?

SHAH ALAM 30 Jun – Pas dilihat selesa membiarkan jawatan Menteri Besar Selangor kekal disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berikutan sehingga kini tiada sebarang perbincangan menuntut jawatan itu dilakukan oleh pucuk pimpinan parti negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri Besar baharu berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam Pas negeri.

“Dalam parti (Pas) tiada perbincangan dibuat mengenai isu ini (Pas tuntut jawatan Menteri Besar Selangor),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan jawatan pemimpin nombor satu kerajaan negeri itu akan dituntut oleh Pas sekali gus bakal menggagalkan hasrat PKR yang didakwa mahu menjatuhkan Abdul Khalid menerusi ‘Langkah Kajang’.

Menurut sumber dalaman kerajaan negeri, keadaan itu mungkin berlaku apabila Pas Selangor dikatakan mahu meletakkan wakil rakyat mereka untuk mengisi jawatan Menteri Besar berdasarkan kedudukan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu berbanding PKR yang hanya menang 14 kerusi.

Menurut sumber itu, Ahmad Yunus merupakan calon yang sesuai untuk mengisi jawatan Menteri Besar memandangkan kedudukannya ketika ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri.

Turut disebut-sebut antara pemimpin Pas yang dipertimbangkan ialah ADUN Tanjung Sepat, Ir. Mohd. Haslin Hassan.

Mohd. Haslin ketika dihubungi turut memberikan penjelasan serupa.

“Saya tiada tahu menahu mengenai perkara ini. Memang tidak pernah dibincangkan dalam Pas negeri,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140701/po_01/MB-Selangor-tetap-milik-PKR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.