Mahkamah Tolak Rayuan, Kerusi Klias Kekal Milik Lajim

KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang Sabah, Lajim Ukin berjaya mengekalkan kerusinya di DUN Klias selepas Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada hari Isnin menolak rayuan yang dibuat oleh calon Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri.

Ketua Hakim Malaya Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan panel yang terdiri daripada lima anggota, membuat keputusan bahawa tidak ada merit dalam rayuan Isnin Aliasnih dan memerintahkan beliau membayar RM20,000 untuk kos perbicaraan kepada Lajim.

Dalam keputusannya, Hakim Zulkefli berkata Isnin gagal membuktikan bahawa seorang wanita, dengan nama Wong Kui En @ Norliah, adalah ejen yang dilantik oleh Lajim untuk mengedarkan wang kertas bernilai RM50 dan kupon pada 4 Mei tahun lalu, sehari sebelum hari mengundi pilihan raya umum ke-13.

Isnin mendakwa bahawa Norliah adalah ejen tempat mengundi untuk Lajim yang telah mengedarkan wang dan kupon (yang boleh ditebus dengan nilai RM100 jika Lajim memenangi kerusi itu) kepada pengundi di kawasan pilihan raya itu pada pilihan raya umum ke-13.

Lajim memenangi kerusi Klias dengan tiket PKR dengan majoriti 179 undi

Hakim Zulkefli berkata bahawa Isnin tidak dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah itu (Lajim) mempunyai pengetahuan dan bersetuju dengan tindakan rasuah Norliah.

“Kami berpendapat bahawa hakim pilihan raya adalah betul dalam keputusannya bahawa tindakan Norliah pada 4 Mei tahun lepas adalah di luar bidang tugasnya sebagai ejen tempat mengundi,” katanya.

Lajim memenangi kerusi Klias dengan majoriti 179 undi, memperoleh 6,324 undi berbanding 6,145 undi yang diperolehi Isnin pada pilihan raya umum 5 Mei 2013.

Isnin mengemukakan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Pilihan Raya, menolak permohonan beliau pada 6 Disember tahun lalu.

Di luar mahkamah, peguam Isnin, Mohd Hafarizam Harun berkata dengan mengambil kira implikasi keputusan terbaru di Mahkamah Persekutuan, kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya perlu melihat dan meminda undang-undang pilihan raya untuk menjelaskan peranan pengundi dan ejen pengira undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.