Dua Kali Berdepan Peristiwa Hitam

KUALA MUDA – Dua kali mengalami peristiwa jatuh bangun dalam hidup, tidak menjadikan seorang ibu hanyut dibuai perasaan malah semangatnya semakin berkobar-kobar meniti kehidupan demi membesarkan tiga anak sendirian.

Dia yang dahulunya bekerja sebagai pelukis pelan di sebuah syarikat arkitek di Alor Setar, terpaksa melepaskan peluang kerjaya tersebut demi anak disayangi.

Fariza Fadzil, 40, dari Kampung Huma, Tanjung Dawai berkata, sebaik mengetahui dirinya ditukarkan ke Pulau Lagenda, Langkawi, dia nekad menghantar notis berhenti kerja kerana memikirkan anaknya di kampung.

Katanya, sebaik berhenti kerja, dia bersama suami menjalankan perniagaan menjual minuman dan makanan ringan di pekan Tanjung Dawai yang juga terkenal sebagai pusat pelancongan di negeri ini.

Jodoh separuh jalan

Peristiwa 10 tahun lalu itu terus menjadi igauan buat dirinya kerana terpaksa melepaskan peluang kerjaya yang stabil kemudian bertukar kepada peniaga kecil-kecilan membantu suami meningkatkan pendapatan.

Bagaimanapun, hanya beberapa tahun berkongsi minat yang sama dalam dunia perniagaan, kesabaran Fariza terus tercabar apabila dia berhadapan masalah keluarga sehingga menyebabkan rumah tangganya bergoyang.

Pada 2007, Fariza sekali lagi diuji ALLAH SWT apabila jodoh yang dikongsi bersama pasangan hidup hanya bertahan separuh jalan.

Perceraian tujuh tahun lalu itu meninggalkan kesan mendalam dalam hidup kerana ketika itu dia langsung tidak memiliki sebarang pendapatan untuk menyara kehidupan sementara anak-anak masih kecil.

“Saya masih ingat ketika itu bayi saya berusia 10 bulan manakala anak kedua dan sulung juga masih bersekolah.

“Tetapi saya tetap teruskan usaha demi mencari sesuap nasi buat anak-anak,” katanya memikirkan satu idea untuk memulakan perniagaan membuat biskut semperit yang sering menjadi juadah istimewa keluarga setiap kali musim perayaan.

Tambah biskut semperit

Cabaran demi cabaran terpaksa ditempuhinya dengan kesabaran dan sering memujuk hatinya agar tidak kuat.

Katanya, proses menyiapkan biskut juga hanya boleh dilakukan pada sebelah malam sebaik sahaja bayinya tidur.

“Setiap malam saya berjaga untuk siapkan semperit dan hantar ke kedai berhampiran pada siang hari,” katanya.

Fariza berkata, pada peringkat permulaan, penerimaan orang ramai terhadap produk tersebut agar sukar namun dia cuba mencari pasaran dengan meletakkan biskut berkenaan di beberapa kedai lain yang sesuai sebagai permulaan.

“Selepas seminggu, saya dapat panggilan supaya tambah biskut semperit kerana produk saya dikatakan mula mendapat tempat di hati pembeli,” katanya.

Bina bengkel

Sebagai langkah permulaan, dia hanya menggunakan alatan sendiri dan ketuhar kecil yang dimiliki sehingga membuat permohonan kepada beberapa pihak dan dibantu dari segi pinjaman serta bantuan peralatan membakar.

Fariza berkata, bagi memantapkan jualan, dia menjadikan biskut semperit sebagai produk utama sepanjang masa, tidak hanya bergantung kepada musim perayaan semata-mata.

“Setakat ini, Alhamdulillah kerana ramai telah mengenali produk saya setelah lima tahun mengusahakan perniagaan ini.

“Hasil bantuan pelbagai pihak juga, saya berjaya membina sebuah bengkel di hadapan rumah sebagai pusat penyediaan dan jualan biskut semperit.

“Sokongan daripada pengusaha lain turut membantu apabila masing-masing sudi meletakkan produk untuk kepelbagaian. Saya juga cuba mempelbagaikan produk tradisional seperti baulu dan putu kacang,” katanya.

Manfaat kepakaran

Fariza berkata, kini anak-anak telah membesar dan dapat merasai kehidupan dengan lebih baik.
“Penyesalan terhadap keputusan berhenti kerja pada mulanya ditambah ujian rumah tangga menjadikan saya lebih tabah mengharungi liku hidup sebagai seorang ibu tunggal,” katanya.

Dia berkata, sokongan keluarga serta usaha tanpa henti dibantu doa dan tawakal menjadikannya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah seperti pengusaha lain.

Dia bagaimanapun menasihati kaum ibu agar tidak terus alpa sebaliknya bangkit dan terus berusaha demi membangunkan diri dalam berhadapan cabaran hidup yang berlaku tanpa diduga.

“Saya berharap golongan ibu dapat memanfaatkan kepakaran masing-masing atau minat dalam pelbagai bidang untuk menjadikannya pendapatan lumayan,”katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-kali-berdepan-peristiwa-hitam-1.295224

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.