‘Dengar Teriakan Minta Tolong’

KEMAMAN – Selepas lima hari insiden kereta terjun Jambatan Bukit Kuang berlalu, warga Kemaman sekali lagi dikejutkan dengan kejadian hampir sama apabila sebuah Toyota Avanza yang dinaiki lima sekeluarga terjunam ke dalam terowong pembetung sedalam sembilan meter.

Kemalangan tersebut berlaku di Kilometer 133 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, berhadapan Pasaraya Besar Giant Kijal, kira-kira jam 11.20 malam kelmarin.

Bagaimanapun, pemandu kereta itu, Abdul Halim Shah Kechil, 49, bersama isteri yang berusia 47 tahun dan tiga anak mereka yang berusia lingkungan 19 hingga 13 tahun bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

Kenderaan yang dinaiki mangsa jatuh dalam keadaan terbalik dengan keempat-empat tayar berada di atas.

Ketika kejadian, mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari rumah mereka di Kuala Terengganu ke Kuantan, tetapi sebaik tiba di selekoh tajam di tempat kejadian yang jalannya masih dalam proses pembinaan, mangsa dikatakan cuba mengelak sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan hingga kereta yang dipandu hilang kawalan lalu merempuh blok pengadang plastik di tepi jalan sebelum terjatuh ke dalam terowong pembetung.

Lihat kesan brek

Seorang pengguna jalan raya yang kebetulan melalui lokasi selepas beberapa minit kejadian, Mohd Yusof Yasar, 46, berkata, dia mendengar sayup-sayup teriakan meminta tolong dari Toyata Avanza yang terjatuh sebaik dia menjenguk ke bawah terowong pembetung.

“Sebelum saya jenguk ke bawah saluran pembetung, saya perasan ada kesan brek sejauh tiga meter di atas jalan dan ia menunjukkan mangsa cuba memberhentikan keretanya tapi tak berjaya.

“Sejurus itu, orang ramai segera turun ke terowong pembetung dan keluarkan mangsa dari dalam kenderaan yang terlingkup sebelum ketibaan bomba serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kemaman dan mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kemaman,” katanya.

Laluan berselekoh tajam

Mohd Yusof berkata, dia tidak terkejut apabila melihat kenderaan tersebut terperosok di bawah terowong pembetung itu kerana dia sendiri nyaris terjun ke dalam pembetung berkenaan sebulan lalu ketika dia sekeluarga pulang dari menikmati murtabak di Dungun.

“Ketika kejadian, pantulan cahaya dari kenderaan depan menyebabkan saya silau saat melalui selekoh tajam di laluan yang masih dalam pembinaan ini. Nasib baik saya sempat memusing stereng ke kanan, kalau tidak saya sekeluarga mungkin terlebih dahulu yang jadi mangsa,” katanya.

Katanya, beberapa alat cahaya yang digantung di blok pengadang plastik di laluan itu tidak mencukupi kerana ia sangat gelap dan pengguna jalan raya tidak menyedari laluan berselekoh tajam.

“Sepatutnya pihak kontraktor meletakkan blok pengadang jalan konkrit di tepi tebing jalan ini kerana jika berlaku kemalangan, blok konkrit boleh halang mangsa daripada terus jatuh ke dalam saluran pembetung,” katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian juga mendapati kontraktor tidak meletakkan tanda amaran yang jelas di kawasan itu, malahan blok plastik di tepi jalan juga tidak diletakkan dalam keadaan tersusun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kemalangan itu berkata, mangsa sekeluarga dibenarkan keluar dari hospital kira-kira jam 4 pagi semalam.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/dengar-teriakan-minta-tolong-1.294862

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.