25 Tahun Jadi Bidan Kampung

KUALA KRAI – Bermula dengan keyakinan mempunyai kebolehan mengurut orang, seorang wanita dari Batu Lada dekat sini, akhirnya menjadikan bidan kampung sebagai kerjayanya sehingga ke hari ini.

Maimunah Sulaiman, 55, tidak pernah belajar berurut atau pun mempunyai ahli keluarga yang boleh berbidan.

Kebolehan yang dimiliki sejak 25 tahun lalu menjadikan ibu kepada tujuh anak berusia 19 hingga 33 tahun ini dikenali masyarakat setempat.

Biarpun bekerja sendiri, namun boleh dikatakan rutinnya mengurut orang dilakukan setiap hari kerana ramai yang memerlukan khidmatnya sehingga ada yang sanggup datang sendiri ke rumah atau meminta dia datang ke rumah penduduk berkenaan.

Ikuti kursus anjuran KKM

Walaupun bertugas sebagai bidan kampung, tetapi mungkin ramai tidak menyangka wanita ini turut mengikuti kursus di bawah kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menambahkan lagi pengetahuannya dalam bidang urutan.

Maimunah pernah mengikuti kursus Bidan Kampung Peringkat Daerah Kuala Krai, Seminar Pendidikan Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari ke arah Pemantapan Perkhidmatan 2013 di Kuala Lumpur anjuran Bahagian Perubatan Tradisional, KKM.

Di samping itu, dia pernah mengikuti kursus bidan kampung peringkat negeri Kelantan di Tumpat pada 2010.

Pengalaman secara praktikal ditambah dengan kursus dan seminar dihadiri menambahkan lagi keyakinan orang ramai terhadap Maimunah.

Tugas kini berbeza

Kebanyakan ibu mengandung yang pernah menggunakan khidmatnya akan sentiasa mencari wanita ini yang kebanyakannya selesa berurut dengannya.

Maimunah atau lebih dikenali sebagai Kak Mah dalam kalangan masyarakat setempat berkata, tugas bidan kampung hari ini tidak sama dengan bidang masa dahulu yang turut menyambut kelahiran kerana sekarang ibu mengandung perlu bersalin di hospital.

Menurutnya, selain berurut selalunya wanita mengandung datang kepadanya untuk menjamah perut bagi melihat keadaan bayi mereka.

“Kak Mah bersyukur dengan kemahiran ini dia boleh menolong orang ramai dan boleh dikatakan setiap orang yang datang sudah biasa dengan Kak Mah.

“Selain berurut, Kak Mah juga boleh mengkhatankan bayi perempuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tiada pantang larang

Maimunah berkata, dia tidak mempunyai sebarang pantang larang ketika berurut tetapi berdoa supaya setiap masalah dihadapi wanita yang datang berjumpa dengannya akan pulih.

Katanya, dia hanya meminta orang ramai supaya tidak berkunjung ke rumahnya pada waktu Zuhur dan Maghrib kerana dia perlu fokus untuk melakukan tugasnya sebagai isteri dan ibu.

Menurutnya, pernah ada wanita yang berkahwin dalam tempoh agak lama akhirnya memperoleh zuriat selepas beberapa kali berurut.

“Alhamdulillah, dengan izin ALLAH SWT beberapa yang wanita sukar mendapat anak, akhirnya memperoleh cahaya mata selepas beberapa kali urutan.

“Kak Mah hanya berikhtiar membantu, segalanya di tangan ALLAH,” katanya.

Berdepan detik jemas

Sepanjang bertugas sebagai bidan kampung, Maimunah pernah berdepan detik cemas apabila seorang lelaki datang ke rumahnya memintanya melihat kandungan isterinya di rumah mereka tidak jauh dari kediaman Maimunah.

Menurutnya, tanpa berlengah dia ke rumah penduduk kampungnya tetapi agak terkejut kerana sebaik sampai wanita berkenaan sudah hendak bersalin.

“Kak Mah agak terkejut kerana diberitahu tarikh jangkaan bersalin masih lama, tapi sebaik sampai wanita berkenaan sudah bersalin.

“Dengan bantuan keluarga kami bawa wanita berkenaan dan bayinya ke hospital.

“Kejadian sebegini mengejutkan Kak Mah tambahan sekarang wanita mengandung perlu bersalin di hospital,” katanya.

Maimunah berkata, berurut memerlukan banyak tenaga, peningkatan usia tidak dinafikan membuatkan dia letih dan adakalanya anak-anak meminta dia bersara.

“Bagaimanapun, rutin selama 25 tahun itu sukar untuk ditinggalkan. Kak Mah beritahu anak-anak, kerjaya inilah yang membolehkan Kak Mah bantu suami bina rumah dan biayai pelajaran mereka.

“Kak Mah akan terus bantu orang ramai selagi terdaya dan tidak mengenakan bayaran khusus bergantung kepada keikhlasan orang ramai,” katanya.

cap:
1. Maimunah menunjukkan sijil kursus dan seminar pernah dihadirinya.
2. Maimunah berurut sejak 25 tahun lalu.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/25-tahun-jadi-bidan-kampung-1.294852

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.