TELUK INTAN, – Tersentuh dengan tragedi kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) pada 13 Mei lalu, Kelab Supercargang Malaysia tampil menghulurkan sumbangan sebanyak RM45,000 kepada keluarga mangsa.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Presiden Supercargang Malaysia, Datuk Wira Mubarak Hussain Bin Akhtar Husin, kepada Supt. S Suzana binti S Abdullah dari Bahagian Kebajikan Pasukan, Bukit Aman, dalam satu majlis ringkas sempena sambutan ulang tahun keenam kelab itu semalam.
“Kami amat terkesan dengan insiden ini dan berharap sumbangan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada keluarga mangsa. Kami juga mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan anggota yang cedera diberi kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan rawatan,” ujar Datuk Wira Mubarak.
Wakil kelab, Datuk Nazir Husin Akhtar Husin, berkata jumlah sumbangan itu adalah hasil kutipan dalam kalangan ahli Supercargang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.
“Kami mengagihkan RM5,000 untuk setiap keluarga. Walaupun jumlah ini tidak seberapa, kami berharap ia dapat meringankan sedikit beban mereka. Insya-Allah, kami akan terus bersama keluarga-keluarga ini dalam menghadapi masa hadapan,” katanya kepada Suara.TV.
Sementara itu, Superintendent Suzana yang mewakili pihak keluarga mangsa, menzahirkan penghargaan kepada Supercargang atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan.
“Sumbangan ini amat bermakna dan pastinya dapat membantu meringankan beban keluarga. Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa baik semua pihak yang terlibat,” ujarnya ringkas.
Terdahulu, dalam insiden pada 13 Mei lalu, sebuah lori membawa batu kerikil bertembung dengan trak FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas menjalankan tugasan di Teluk Intan. Nahas tersebut mengorbankan sembilan anggota dan mencederakan lapan yang lain.
Ditubuhkan pada tahun 2019, Supercargang Malaysia bukan sahaja aktif dalam aktiviti konvoi, malah terkenal dengan pelbagai inisiatif kebajikan. Antara program terdahulu termasuk pembinaan madrasah, sekolah tahfiz, serta bantuan kepada mangsa banjir dan organisasi kerajaan semasa pandemik COVID-19.
Orang ramai yang ingin mengikuti aktiviti dan usaha murni kelab ini boleh mengunjungi Instagram rasmi mereka di @supercargangmy.-Suara.TV