Pemuda PAS Pahang Dakwa Tindakan Tengku Zafrul Dedah Keretakan Umno-PKR

- Advertisement -

Pemuda PAS Pahang menyifatkan hubungan antara UMNO dan PKR dalam Kerajaan Perpaduan semakin rapuh susulan tindakan Tengku Zafrul Abdul Aziz meninggalkan UMNO dan menyatakan hasrat menyertai PKR.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar, berkata keputusan Tengku Zafrul itu memberi isyarat jelas bahawa terdapat masalah dalaman yang serius antara parti komponen kerajaan.

“Tindakan Tengku Zafrul yang secara terbuka menolak Umno – parti yang mengangkatnya dalam pentadbiran kerajaan – membuktikan ada keretakan dalaman yang mendalam antara parti komponen Kerajaan Perpaduan, termasuk di Pahang,” katanya dalam kenyataan media di Kuantan.

Beliau mendakwa suasana politik negeri turut terkesan apabila pelantikan politik di peringkat negeri dikatakan tergendala akibat pergeseran antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH). Katanya, kerjasama antara kedua-dua parti itu di Pahang tidak lebih daripada satu “pakatan longgar”.

“Tindakan pemimpin seperti Tengku Zafrul membuka ruang kepada spekulasi dan keresahan politik, bukan sahaja dalam kalangan rakyat, malah dalam kalangan jentera kerajaan sendiri,” katanya lagi.

Ahmad Azlan menyeru kerajaan negeri agar kembali berpegang kepada prinsip Islam, integriti dan kecekapan dalam pentadbiran. Beliau juga memberi amaran bahawa pergolakan dalaman hanya akan menyusahkan rakyat dan menggugat pembangunan negeri.

“Kerajaan Perpaduan di Pahang juga dalam situasi genting dan rapuh. Kami menyeru semua pihak, terutama rakyat, menilai semula keabsahan dan keberkesanan kerajaan negeri yang wujud hari ini. PAS dan Perikatan Nasional kekal sebagai pilihan terbaik untuk mentadbir negeri Pahang dengan lebih stabil, adil dan beramanah,” katanya.

Tengku Zafrul, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, mengumumkan peletakan jawatan dalam parti itu Jumaat lalu. Langkahnya mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk daripada Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, yang menyifatkan penyertaan Zafrul dalam UMNO sebagai tidak diundang.

Beberapa pihak turut menggesa agar Tengku Zafrul melepaskan jawatan sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri susulan keputusannya itu. Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan kedudukannya.

Anwar berkata Zafrul kekal dalam kabinet kerana prestasinya yang “sangat baik”.

Sebelum ini, media melaporkan hasrat Tengku Zafrul menyertai PKR mungkin berkait dengan kemungkinan rombakan kabinet menjelang tamat tempoh pelantikannya sebagai senator.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat