Tak Salah Ajak Bukan Islam Buka Puasa Kata Mufti

KUALA LUMPUR — Tidak salah mengundang bukan Islam berbuka puasa, malah amalan ini boleh menonjolkan keramahan Islam.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beberapa negara luar, pemimpin bukan Islam lazim menghadiri majlis berbuka puasa anjuran orang Islam.

“Kami cenderung berpandangan hukum menjemput bukan Muslim berbuka puasa adalah harus dan dibolehkan dalam Islam,” katanya.

Menurutnya, ia merupakan amalan “sangat baik bagi merapatkan hubungan kejiranan tanpa mengira agama dan bangsa” dan juga menggambarkan “keramahan Islam”.

“Dalam masa yang sama, hendaklah dipelihara adab-adab dan nilai murni dalam majlis berbuka puasa tersebut,” katanya.

Zulkifli juga berpesan agar majlis berkenaan mengutamakan mereka yang fakir miskin dan anak yatim sama ada Muslim dan bukan Muslim.

Isnin lalu, exco hal-ehwal agama Pulau Pinang menjelaskan tidak sesuai dengan ajaran Islam melarang bukan Islam sama-sama berbuka puasa.

“Tidak Islamik menyekat orang bukan Islam menyertai orang Islam berbuka puasa,” kata Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Beliau mengulas desakan sebuah pertubuhan yang menggesa Ketua Menteri Lim Guan Eng dilarang menyertai majlis berbuka.

Jumaat lalu, ketua Jaringan Muslimin Pulau Pinang Mohamed Hafiz Mohamed Nordin membuat gesaan itu dalam satu demonstrasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.