Setahun Jalan Kaki Ke Mekah Untuk Tunai Haji

PEKALONGAN – Kisah seorang pemuda yang berjalan kaki hampir setahun lalu untuk menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah kini tular di media sosial di Indonesia.

Muhammad Khamim Setiawan, 29, yang berasal dari Desa Rowokembu di Pekalongan, Jawa Tengah dilaporkan memulakan misinya pada 28 Ogos tahun lalu.

Bapanya, Saofani Solichin berkata, selepas menempuh pelbagai dugaan kini anaknya sudah sampai ke Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan meneruskan perjalanan ke Makkah.

Katanya, anaknya sering memberitahu perkembangan pengembaraannya melalui penduduk setempat yang ditemui sepanjang perjalanannya ke tanah suci.

“Anak saya pada mulanya memulakan perjalanan itu dengan seorang rakannya tetapi belum pun keluar dari Indonesia rakannya sudah mengalah dan pulang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, Muhammad Khamim hanya membawa sedikit wang tetapi dia banyak dibantu penduduk di kawasan yang dilawatinya yang turut menghubunginya bagi memberitahu keadaan anaknya itu.

“Muhammad Khamim merancang perjalanan ini selama tiga tahun dengan meneliti tempoh visa lawatan setiap negara dan berpuasa selang sehari sebagai persediaan.

“Pada mulanya saya sangsi dengan kemampuan Muhammad Khamim tetapi apabila mengetahui dia kini sudah sampai ke Dubai, saya yakin dia akan berjaya,” jelasnya.

Sepanjang perjalanan itu, Muhammad Khamim berjalan kaki merentasi Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Oman, dan UAE. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.