Ramona Zamzam Sah Hamil Tiga Bulan

Terbaharu pelakon yang juga bekas finalis Dewi Remaja 2009/10, Ramona Zamzam mengesahkan dia kini sedang hamil tiga bulan. Tahniah!

Lucunya, cerita Ramona, sejak hamil, suaminya Rami Alashkar, 29, mula mengenakan pelbagai syarat dek kerana bimbangkan kandungan isterinya itu terjejas.

“Dua bulan sebelum disahkan hamil, saya mula jadi seorang yang kuat tidur siang dan situasi itu umpama anda tidur malam hari malah sangat nyenyak selain kitaran haid yang tidak normal.

“Perkara itu berlarutan beberapa hari sehinggalah kami mengesyaki sesuatu sebelum ke klinik untuk mendapatkan kepastian.

“Alhamdulillah doktor sahkan saya hamil dan kami memang terkejut kerana tidak menjangkakan perkara ini,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Ramona atau Ros Ramina Qadira Mohd Zamzam, 27, ini lagi, suaminya paling teruja dengan berita itu sehingga tidak membenarkan dia membuat kerja-kerja rumah.

“Jujurnya saya seorang yang aktif tetapi apabila dilarang membuat sebarang kerja saya jadi tertekan sehingga menjadi seorang pemalas dan kerja saya hanya makan… haha.

“Selera makan pula memang bertukar daripada suka masakan Melayu kepada hidangan barat dan buah-buahan kegemaran suami saya.

“Ada yang mengusik bayi dalam kandungan mungkin lebih kuat genetik daripada suami,” ujarnya.

Pun begitu kata Ramona, dia sebenarnya terharu apabila melihat kesungguhan suaminya mengambil semua tanggungjawab menjaga rumah tangga mereka ketika dia sedang hamil.

“Membasuh, menyidai baju dan mengemas rumah semuanya suami lakukan kerana tidak mahu saya membuat sebarang kerja walaupun tugas itu bukannya susah sangat kalau saya hendak buat,” katanya.

Ditanya mengenai alahan, pelakon filem Jengka ini berkata, dia beruntung kerana setakat ini tidak mengalami sebarang alahan teruk sehingga merasakan seperti bukan berbadan dua.

Ramona dan Rami berkahwin pada 1 Mei 2015 selepas menjalinkan hubungan cinta selama dua tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.