Ramadan Diselubungi Darah

Kabul – Satu letupan kuat bom yang disembunyikan dalam tangki kumbahan pada waktu puncak di tengah Kabul pagi semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh, mencederakan ratusan yang lain serta menyebabkan ruang angkasa di sekitar kawasan istana presiden dan kedutaan asing diselubungi asap tebal.

Menurut Reuters, letupan itu, antara yang paling buruk pernah berlaku di Kabul dan terjadi pada hari kelima Ramadan. Ia meletup berhampiran kedutaan Jerman, meragut nyawa seorang pengawal keselamatan dan mencederakan beberapa kakitangan kedutaan, kata Menteri Luar Jerman Sigmar Gabriel menerusi Twitter.

Jurucakap polis Kabul, Basir Mujahid mengesahkan letupan berlaku berhampiran kedutaan Jerman tetapi terdapat beberapa pejabat penting lain di situ.

Letupan itu yang memecahkan tingkap dan menyebabkan pintu tercabut di rumah yang terletak ratusan meter jauh adalah luar biasa kuat dan beberapa laporan berkata mengesahkan ia disebabkan bahan letupan yang disembunyikan dalam tangki kumbahan, lapor Metro.

Kenyataan misi sokongan yang diketuai Nato di Kabul berkata, pasukan keselamatan Afghanistan menghalang kenderaan itu memasuki Zon Hijau, kawasan yang dikawal ketat dan tempat terletaknya ramai kediaman duta asing.

Ia menunjukkan kenderaan itu mungkin gagal tiba di sasaran sebenarnya.

Seorang pekerja kesihatan awam berkata, sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dan 350 cedera dengan kebanyakan mangsa orang awam.

China dan Perancis berkata, kedutaan negara itu juga rosak akibat letupan berkenaan.

“Ia seperti gempa bumi,” kata Mohammad Hassan, 21, ketika menceritakan kejadian itu.

Bank yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian, tempat Mohammad Hassan bekerja, juga mengalami kerosakan.

Kepala Mohammad berbalut kerana cedera tetapi bajunya masih dibasahi darah.

Seorang lagi mangsa, Nabib Ahmad, 27, berkata, kemusnahan dan kekeliruan menyusuli letupan itu.

Taliban menafikan bertanggungjawab terhadap kejadian itu, sebaliknya mengecamnya kerana ia tidak mempunyai sasaran dan membunuh orang awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.