‘Mungkin Saya Terpaksa Pertimbang Jadi PM Lagi’

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan cadangan menjadi perdana menteri sekali lagi – jika Pakatan Harapan (HARAPAN) merancang sedemikian.

Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan semasa sesi secara langsung di laman Facebooknya apabila ditanya sama ada beliau bersetuju menjadi perdana menteri sekali lagi jika pembangkang menewaskan BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Saya tidak boleh membelakangkan kawan-kawan saya dalam HARAPAN. Kalau mereka mempunyai cadangan seperti itu dan dipersetujui, mungkin saya terpaksa menimbangkannya,” katanya.

Bagaimanapun, Mahathir menegaskan beliau tidak bersetuju untuk menjadi perdana menteri lagi.

“Saya telah nyatakan bahawa setelah saya bersara, saya tidak akan jadi PM lagi,” jelasnya.

Mahathir berulang kali menyatakan sebelum ini bahawa beliau tidak merancang untuk bertanding pada PRU14 dan tidak tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menjadi pemimpin nombor satu negara buat kali kedua.

Walaupun berpendirian sedemikian, bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim merupakan antara mereka yang percaya bahawa Mahathir adalah calon terbaik untuk menjadi perdana menteri, jika pembangkang memenangi PRU14.

Mahathir juga muncul di tempat teratas dalam tinjauan Malaysiakini baru-baru ini sebagai calon perdana menteri HARAPAN.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.