MH128: Warga Sri Lanka Buat Kecoh Baru Keluar Pusat Rawatan Mental

MELBOURNE – Lelaki Sri Lanka yang cuba memasuki kokpit bersama-sama apa yang didakwanya sebagai bom semalam, baru dibebaskan dari pusat psikiatri ketika menaiki pesawat, kata polis Australia.

Penumpang dalam pesawat Malaysian Airlines dari Melbourne ke Kuala Lumpur berkata, mereka bimbang dengan keselamatan masing-masing apabila lelaki berusia 25 tahun itu bergegas ke arah kokpit dan menjerit mahu meletupkan kapal terbang berkenaan.

“Dia baru dibebaskan dari pusat psikiatri semalam dan dari situ, kami percaya dia membeli tiket, pergi ke lapangan terbang dan menaiki pesawat,” kata Ketua Polis Victoria, Graham Ashton.

Beberapa penumpang menumbangkan lelaki itu dan mengikatnya sebelum pesawat berkenaan melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Melbourne.

Pegawai bersenjata unit elit polis memasuki pesawat, menggari lelaki berkenaan dan membawa dia turun dari kapal terbang itu.

Suspek berkata, dia membawa bom tetapi ia cuma pembesar suara Bluetooth yang besar sedikit daripada iPhone, kata Ashton.

Beliau menambah, kejadian itu tidak dianggap sebagai ada kaitan dengan keganasan, sebaliknya cuma kes membabitkan isu kesihatan mental.

Lelaki tidak dinamakan itu kini disoal siasat dan berhadapan dakwaan membuat ancaman dan dakwaan palsu dan membahayakan keselamatan pesawat, kesalahan yang membawa hukuman 10 tahun penjara. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.