KPDNKK Gagalkan Cubaan Seludup 28,898 Kg Minyak Masak Subsidi Ke Negara Jiran

SANDAKAN — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 28,898 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dari sebuah kilang di sini disyaki untuk diseludup ke luar negara.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata rampasan dilakukan menerusi dua operasi berasingan pada 23 Mei lepas di Pelabuhan Sandakan dan serbuan di sebuah kilang membungkus minyak masak bersubsidi di sini pada 25 Mei lepas.

Katanya kegiatan kilang itu terbongkar hasil risikan selama dua minggu membawa kepada penahahan sebuah lori membawa muatan minyak bersubsidi sebanyak 17,000 kg di Pelabuhan Sandakan pada jam 7 malam, 23 Mei lepas.

Katanya minyak masak paket satu kg berjenama Red Diamond yang keseluruhannya bernilai RM42,500 itu hendak dieksport ke negara jiran.

Menurutnya dua hari kemudian, anggota penguatkuasa KPDNKK menyerbu sebuah kilang pembungkus minyak bersubsidi berlesen di sini yang disyaki mengeksport minyak masak bersubsidi tersebut.

Ketika serbuan dijalankan, terdapat dua mesin membungkus minyak masak berserta peralatan dan juga sejumlah minyak masak yang dianggarkan sebanyak 11,898 kg dengan nilai RM29,745, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Roslan berkata jumlah subsidi yang disyaki telah disalahgunakan sebanyak RM37,567 dan dipercayai aktiviti kilang ini telah berlaku dalam tempoh yang lama.

Katanya kegiatan kilang itu menyebabkan kerajaan menanggung kerugian dan menyebabkan kegagalan barangan bersubsidi sampai ke golongan sasaran.

Beliau berkata kesalahan dilakukan oleh syarikat itu adalah memiliki barang kawalan dengan untuk melakukan kesalahan, menyembunyikan maklumat transaksi bekalan dan pengedaran, pembungkus minyak masak bersubsidi dan eksport gagal menyelenggara buku stok.

Menurutnya kesemua kesalahan itu disiasat dibawah AKta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Katanya sabit kesalahan, pihak syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta, bagi pemilik syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Roslan berkata lesen dan kuota syarikat tersebut akan digantung atau dibatalkan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.