‘Kak Long’, Amoi Berebut Parkir Di Bazar Ramadan

Satu rakaman video menunjukkan berlaku kekecohan di tapak bazar ramadan tular di Facebook, sejak semalam.

Insiden pertengkaran melibatkan dua pemandu kenderaan itu tercetus dipercayai gara-gara berebut tempat letak kereta di kawasan tapak bazar ramadan yang didakwa di Kuah, Langkawi dalam kejadian pada 30 Mei lalu.

Berdasarkan rakaman video tersebut, kelihatan seorang wanita dan seorang lelaki, dipercayai pasangan suami isteri bertindak menyerang pemandu sebuah kenderaan.

Video berdurasi 42 saat yang dimuat naik pengguna Facebook Ann Lim juga memaparkan pasangan tersebut seolah menghemburkan kata-kata kesat sebelum wanita bertudung itu menunjukkan isyarat lucah ke arah perakam.

Mereka kemudian berlalu pergi sebelum sekali lagi menyerang kereta Ann Lim dengan membaling kedua-dua belah selipar dan memukul bahagian depan kereta.

Menerusi catatan di entri Facebook, Ann Lim mendakwa kejadian berlaku selepas dia menegur pasangan tersebut yang ‘mencuri’ tempat parkir, sedangkan dia sudah menunggu lama dan memberi isyarat untuk masuk.

Ann Lim mendakwa dia membunyikan hon kepada pasangan itu, namun tidak diendahkan mereka.

Video insiden berkenaan mendapat perkongsian lebih 22,000 pengguna Facebook dan pelbagai reaksi diluahkan, yang mana segelintir netizen turut mengecam tindakan wanita Melayu itu.

Walau bagaimanapun, seorang pengguna Facebook bernama Siti Khadijah dipercayai wanita yang dirakam dalam video ‘amukan’ itu tampil mempertahankan dirinya, lapor MD.

Menurut Siti Khadijah, dalam kejadian pada jam 7 petang itu dia yang tergesa-gesa untuk membeli juadah berbuka puasa tidak menyedari bahawa ada kereta lain sedang menunggu untuk masuk parkir tersebut.

Ketika dia keluar dari kenderaan, kereta dipandu Ann Lim sedang mengundur sebelum membunyikan hon panjang sehingga pengunjung bazar lain memandang ke arah mereka.

Jelas Siti Khadijah, dia menghampiri pemandu itu untuk mendapatkan penjelasan, namun pemandu itu dikatakan dengan nada marah menjerit ke arahnya dengan berkata, “Itu parkir saya! Bawa kereta tak ada lesen ke?’”

“Saya pula malas nak gaduh dan saya terus berjalan ke bazar sebabnya dia tak profesional cakap tak ada budi bicara terus marah-marah… bila separuh jalan, saya pusing ke arah dia rupa-rupanya dia sedang merakam gambar kami.

“Saya patah balik dan bertanya kenapa rakam gambar, tapi dia tak jawab dan terus kunci pintu kereta dan tutup tingkap, sebelum menunjukkan penumbuk kepada saya. Selepas itu berlakulah perbalahan antara kami dan saya balas balik perbuatannya,” demikian tulis Siti Khadijah di laman Facebook Langkawi Sana Sini II.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.