Hapus Kabotaj Jangan Disabotaj Macam GST Kata Ahmad

KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berharap penghapusan dasar kabotaj di Labuan, Sabah dan Sarawak, yang akan dilaksanakan mulai hari ini, tidak disabotaj seperti pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata, sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu untuk menggagalkan usaha kerajaan menyamaratakan harga barangan di Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan akan menjejaskan ekonomi negara, khususnya, yang melibatkan pengusaha kecil dan sederhana (PKS).

“Dalam bab menurunkan harga barangan (apabila dasar kabotaj dihapuskan), saya ingin empat perkara dilakukan iaitu agar pelaksanaan penghapusannya tidak disabotaj, peniaga hendaklah beretika dalam semua rantaian niaga, penguatkuasaan hendaklah kemas di semua peringkat dan pengguna perlu bijak dan bertindak.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku pada GST dengan penghapusan dasar kabotaj nanti,” katanya, lapor Bernama.

Dalam pada itu, Ahmad berkata cubaan untuk mensabotaj pelaksanaan penghapusan dasar kabotaj itu akan membantutkan usaha kerajaan membantu rakyat.

“Saya cuma mahu mengingatkan pengalaman ketika kerajaan dibantai apabila teori mengatakan GST menurunkan harga barangan itu tidak berlaku. Walhal, dari segi teorinya adalah tepat.

“Penghapusan dasar kabotaj juga teorinya tepat (menurunkan harga barangan). Soalnya berlaku atau tidak. Ini satu perkara yang amat penting untuk kita perhatikan mulai esok (hari ini),” katanya.

Pada 7 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengecualian dasar kabotaj kepada Sabah, Sarawak dan Labuan berkuatkuasa hari ini (1 Jun) dan tidak lagi terikat dengan dasar yang dikenakan ke atas semua aktiviti perkhidmatan perkapalan kargo antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Sehubungan itu, mengenai PKS di Sabah, Ahmad berharap agar mereka lebih kreatif dan berinovatif tinggi serta mengeksport produk ke luar negara.

“Pasaran di Malaysia hanya kira-kira 30 juta orang, tetapi kalau kita mengeksport ke China, ada 1.3 bilion orang, India (1.2 bilion) dan Asean (650 juta),” katanya.

Beliau turut mengumumkan SME Corp Malaysia telah meluluskan RM254.62 juta bantuan kewangan untuk berbagai program kepada 1,168 PKS di negeri ini dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.