Erra Dorong Shahir Kembali Aktif Bidang Seni

KUALA LUMPUR: Bintang jelita Erra Fazira banyak memberikan perangsang dan dorongan kepada juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir Zawawi, 28, selepas penyanyi itu menyuarakan hasrat ingin kembali aktif di arena seni.

Menurut pelakon yang turut bergelar penyanyi itu, beliau berbuat demikian demi masa depan Shahir dalam dunia hiburan tanah air.

“Dia juga banyak bertanya kepada saya mengenai hal kerjaya. Jadi, saya berikan perangsang supaya ia dapat menaikkan semangatnya. Lagipun, dia juga sudah lama menghilang daripada bidang seni.

“Saya memberikan beberapa cadangan kepadanya seperti keluar berjumpa peminat, bertemu media dan perlu sentiasa aktif di media sosial kerana ia antara medium terbaik untuk mengemas kini aktiviti kita.

“Selain itu, saya juga menasihatkan dirinya supaya rajin turun ke ibu kota dan pada masa yang sama mencari lagu yang sesuai untuk diketengahkan,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Erra, 43, mengakui tiada perkembangan terbaru boleh dikongsi bersama peminat mengenai hubungannya dengan Shahir, yang sebelum ini digembar-gemburkan bakal berakhir di jenjang pelamin tidak lama lagi.

Perhubungan antara mereka kembali menjadi perhatian apabila pemuda terbabit muncul memeriahkan pertandingan akhir Gema Gegar Vaganza, baru-baru ini.

Sebelum itu, kisah dua selebriti ini bagai senyap seketika apabila Shahir mengambil pendekatan menyepikan diri dan Erra juga tidak lagi mengulas panjang mengenai perhubungan terjalin antara mereka.

“Tiada apa-apa pun yang hendak dikongsi. Pusing-pusing, cerita sama,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.