Bank Enggan Hantar Kakitangan Ke Rumah Pesakit – ADUN

PETALING JAYA – Adun Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail menafikan usaha beliau membawa seorang warga emas menaiki ambulans ke bank untuk menukar kad mesin teler automatik (ATM) tamat tempoh untuk tujuan publisiti.

Wakil rakyat Kelantan itu berkata pihaknya pernah memohon pihak bank supaya menghantar pegawai bertemu dan membantu warga emas yang uzur itu untuk menyelesaikan urusan penukaran kad baharu tetapi ditolak.

Lantas, pihaknya terpaksa membawa pesakit itu ke bank menaiki ambulans.

“Sebelum kita minta bantuan doktor kita sudah bincang dengan pihak bank. Pihak bank kata kakitangan mereka tidak boleh pergi ke rumah pelanggan, tetapi pelanggan yang kena datang ke bank,” kata Mat Razi kepada FMT.

“Saya kena bertanggungjawab selesaikan masalah ini sebab beliau memerlukan wang segera dan bantuan perlu diberikan secepat mungkin.”

Isnin lalu Sinar Harian melaporkan Adun BN itu membawa seorang warga emas yang bergantung kepada mesin oksigen 24 jam menaiki ambulans ke bank di Kota Bharu untuk menukar kad ATM tamat tempoh, kerana wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dimasukkan ke akaunnya tidak dapat dikeluarkan.

Azizah Mohamad, 77, dari Kampung Kubang Sawa, Tumpat, menghidap asma kronik dan hanya mampu bertahan 25 minit sahaja tanpa mesin oksigen. Keadaannya menyukarkan Azizah ke bank dengan kenderaan biasa.

Kejadian itu bagaimanapun mengundang kritikan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) yang berkata pelanggan uzur tidak sepatutnya diheret ke bank untuk menukar kad baharu atau urusan lain.

“Mustahil itu arahan pihak bank yang dilihat kejam seperti itu. Kalau itu arahan bank supaya bawa warga emas yang uzur itu ke bank, pihak atasan bank perlu ambil tindakan,” kata Setiausaha Agung J Solomon kelmarin.

Solomon berkata pelanggan uzur sebenarnya boleh meminta pegawai bank ke rumah untuk membantu urusan mereka, dan kejadian itu sudah memburukkan nama baik institusi kewangan kerana seolah-olah tiada cara lain untuk pelanggan berurusan dengan bank.

Selepas kenyataan Nube itu, Mat Razi tidak mahu menyalahkan pihak bank, dan berharap pihak bank lebih terbuka di masa depan dan menyediakan alternatif kepada pelanggan uzur.

“Saya tidak marah dan tidak pandang serong, cuma kita minta ada cara lain untuk memudahkan urusan pelanggan uzur,” katanya.

“Kita berterima kasih kepada kakitangan bank kerana sebaik sahaja warga emas tiba, proses menukar kad ATM cepat dilakukan,” katanya. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.