Aset Ketenteraan Di Tahap Tertinggi Hadapi Sebarang Kemungkinan

Aset ketenteraan yang berada di Pangkalan Udara Labuan sentiasa diletakkan di tahap kesiap-siagaan tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pengganas seperti yang berlaku di Bandar Marawi, selatan Filipina, baru-baru ini.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Datuk Seri Affendi Buang berkata Pangkalan TUDM Labuan ketika ini diiktiraf sebagai pangkalan hadapan kerana ia berhampiran dengan perairan timur Sabah.

“Sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini berhampiran perairan timur Sabah maka Pangkalan TUDM Labuan boleh bertindak pantas dan bersedia untuk respons.

“Kawasan timur Sabah diberi keutamaan kerana perkara yang berlaku sekarang (ancaman keselamatan negara).

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian perutusan Panglima TUDM bersempena sambutan Hari TUDM ke-59 di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Beliau berkata TUDM ada semua detasmen di Pangkalan Udara Labuan dan ia juga digunakan bagi membantu pesawat TUDM yang berada di Tawau dan Sandakan.

“Pada setiap masa TUDM akan bawa pesawat dari semenanjung untuk buat ‘detachment’ dan kita buat penggiliran di pangkalan berkenaan,” katanya.

Affendi turut melancarkan lencana terbaharu Cawang Tadbir yang akan diguna pakai semua pegawai dan anggota Cawang Tadbir berkuat kuasa hari ini.

“Reka bentuk lencana baharu ini adalah bercirikan inovasi moden, futuristik dan seiring dengan logo ‘Air Force Next Generation,” katanya.

Selain itu, TUDM melancarkan buku mewah Pasukan Khas Udara yang merupakan cetusan idea Asisten Ketua Staf Tadbir Brig Jen Datuk Dr Ismail Manuri.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.