Wanita UMNO Bantah Cadangan Naikkan Gaji Pembantu Rumah Indonesia

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menentang sebarang cadangan untuk menaikkan gaji pembantu rumah warga Indonesia kepada RM1,200 kerana tindakan itu bukan sahaja tidak sepadan dengan kualiti malah membebankan majikan.

 

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, adalah tidak munasabah untuk gaji pembantu rumah dinaikkan melebihi gaji minimum yang diterima pekerja tempatan apatah lagi kemudahan lain turut disediakan pihak majikan.

 

“Saya minta pihak kerajaan agar berbincang dengan panjang lebar kerana kalau kita bersetuju dengan cadangan menaikkan gaji kepada RM1,200, memang ramai keluarga di Malaysia tidak mampu untuk membayar pembantu rumah.

 

“Kita di Pergerakan Wanita UMNO jelas tidak bersetuju de­ngan cadangan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Pasarnita oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini hari ini.

 

Jumaat lalu, Timbalan Duta Besar Indonesia di Malaysia, Hermono, mengesahkan negara itu telah menghantar kertas cadangan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk menambah baik syarat pembantu rumah antaranya menaikkan gaji kepada RM1,200.

 

Kenaikan gaji daripada RM800 kepada RM1,200 sebulan itu, jelas Hermono, bagi menjadikan pekerjaan pembantu rumah di Malaysia lebih kompetitif kerana dakwanya negara lain menawarkan gaji yang lebih tinggi berbanding negara ini.

 

Bagaimanapun pelbagai pihak, baik badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan operasi pembantu rumah, badan politik dan pihak majikan jelas tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

 

Dalam perkembangan yang sama, Shahrizat berkata, jika gaji pembantu rumah dinaikkan kepada RM1,200, setiap majikan di negara ini perlu membelanjakan sehingga RM2,000 sebulan me­rangkumi aspek makan minum serta penginapan.

 

“Mereka ini kita tanggung semua, makan minum dan tempat berteduh. Jadi kalau campur semua ini majikan terpaksa mem­belanjakan sehingga RM2,000 untuk seorang pembantu rumah,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.