Video: Tiga Pelajar Vokasional Terlibat Kes Buli Ditahan Polis

KUANTAN – Polis menahan tiga pelajar sebuah kolej vokasional di Bentong yang dipercayai terlibat dalam kes buli pada Jumaat lepas seperti yang tersebar di laman sosial menerusi rakaman video.

 

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt. Mohammad Mansor Mohammad Nor berkata, ketiga-tiga pelajar berkenaan masing-masing berumur 15 dan 16 tahun ditahan selepas diserahkan oleh bapa masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong petang ini.

 

Beliau berkata, selepas menerima laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kajang pada Jumaat lepas, polis menghubungi ketiga-tiga bapa pelajar terlibat dan meminta mereka menyerahkan anak masing-masing bagi membantu siasatan.

 

“Polis pada masa sama turut mengambil keterangan mangsa yang berusia 16 tahun bagi membantu siastan kes mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

 

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca apabila ketiga-tiga suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang didakwa memberitahu guru bahawa seorang daripada mereka telah memecahkan almari di dalam asrama.

 

 

Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa kemudian dipanggil oleh suspek ke bilik mereka lalu ditendang dan ditumbuk beberapa kali bergilir-gilir.

 

Keadaan itu menyebabkan mangsa Muhammad Najemie Johari, 16, yang merupakan pelajar tahun satu di kolej itu lebam di belakang badan dan luka di belakang telinga kirinya.

 

Beliau berkata selepas kejadian itu mangsa kembali ke rumahnya di Kajang dan menceritakan kejadian itu kepada adiknya sebelum dimaklumkan kepada bapanya yang bertindak membuat laporan polis.

 

Mangsa juga, katanya, dibawa oleh keluarganya pada hari yang sama untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

 

Video berdurasi 22 saat itu mula tersebar di laman sosial sejak semalam menunjukkan mangsa yang hanya mengenakan tuala mandi dipukul bertubi-tubi oleh suspek terlibat.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.