Video: Lagi Rakaman Pelajar Kolej Dibuli Di Asrama

Kuala Lumpur – Satu lagi kes buli di asrama yang melibatkan pelajar kolej vokasional telah dimuat naik di laman sosial Facebook.

 

Kali ini didakwa melibatkan pelajar Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan di Bentong, Pahang.

 

Menurut pemilik akaun yang memuat naik rakaman tersebut, kejadian itu melibatkan anak kepada rakannya yang dibelasah oleh pelajar lain kerana membuat aduan kepada pihak asrama ekoran banyak almari telah dipecah.

 

 

Adam Aki mendakwa, mangsa merupakan ketua blok asrama itu.

 

Video berdurasi 21 saat itu menunjukkan mangsa yang tidak berbaju dipukul oleh dua pelajar yang memakai baju Melayu putih dan biru.

 

Turut kelihatan, seorang lagi pelajar berbadan besar yang hanya berseluar sehingga menampak punggung yang turut bersubahat dengan menarik mangsa.

 

Rata-rata pengguna Facebook mahukan rakaman video itu disebarkan kepada media supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) cepat bertindak.

 

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Suprintendan Mohamad Mansor Mohd Nor mengesahkan perkara terbabit dan siasatan ke atas video terbabit sedang dijalankan.

 

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 29 Mei lalu bertempat di dalam asrama kolej terbabit di mana tiga suspek telah dikenalpasti terlibat dalam kejadian terbabit.

 

“Sekitar jam lebih kurang 12.45 tengah hari, mangsa yang berusia 16 tahun telah dipanggil oleh suspek.

 

“Suspek bertanya kepada mangsa berkenaan kes pecah almari dalam asrama sama ada mangsa ada memberitahu guru berkaitan kejadian itu mahupun tidak,” katanya.

 

Menurut laporan yang dibuat juga katanya, selepas ditanya tentang perkara terbabit, mangsa kemudiannya diminta untuk berpusing belakang.

 

“Sebaik berpusing belakang, suspek secara tiba-tiba menendang mangsa dari belakang sehingga mengakibatkan mangsa terhantuk ke dinding.

 

“Kemudian datang dua lagi suspek menumbuk dan menendang mangsa. Selepas memukul mangsa, suspek kemudiannya beredar dari tempat kejadian,” katanya.

 

Mangsa yang berasal dari Semenyih, Selangor itu kemudiannya menerima rawatan di Hospital Kajang kerana pulang ke kampung halamannya untuk bercuti sekolah yang bermula pada Jumaat lalu.

 

Mansor berkata, pihak polis telah memperolehi memo perubatan mangsa daripada Hospital Kajang dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.