Video: Insiden Ludah Pemain, Nazmi Faiz Kemungkinan Akan Disingkirkan

Rakaman yang memaparkan tindakan pemain Bawah 23 Malaysia, Nazmi Faiz Mansor meludah pemain Timor Leste dalam perlawanan skuad bawah 23 negara (B23) kini menjadi viral menerusi media sosial.

 

Tindakan Nazmi yang kemudiannya disebarkan menerusi platform tersebut dikatakan menjadi bahan kutukan rata-rata peminat di laman sosial.

 

 

Di media sosial, orang ramai memberi pandangan masing-masing terhadap insiden itu dan pandangan itu diluahkan di laman Facebook HarimauMalaya.

 

Kebanyakan daripada pengguna melahirkan kata-kata sokongan ke atas tindakan pengadil yang melayangkan kad merah kepada Nazmi.

 

Ekoran dari tindakannya, Nazmi kini digantung dua perlawanan.

 

Menurut kebanyakan pengguna laman sosial, perbuatan itu mencemari permainan Timor Leste dengan Malaysia yang hanya menang tipis 1-0 ke atas pasukan tersebut.

 

Sementara itu menurut Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee, Nazmi kemungkinan akan disingkirkan daripada skuad Sukan SEA 2015.

 

“Adalah sesuatu yang memalukan untuk melakukan kesalahan seperti itu dan saya sudah memberitahunya saya belum selesai dengannya lagi.

 

“Kami perlu menunggu jawatankuasa disiplin untuk memutuskan hukuman yang dikenakan kepadanya dalam tempoh satu atau dua hari lagi sebelum saya memutuskan hukuman selanjutnya (dan) saya sudah memberitahunya yang saya boleh menghantarnya pulang atau mendendanya… Saya memberitahunya untuk bersedia.” ujar Kim Swee.

 

Kesalahan menyaksikan Nazmi terlepas dua perlawanan Malaysia selepas ini menentang Vietnam, esok dan Thailand (Khamis).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.