Tidak Patut Sindir Presiden Pas

Rantau Panjang – Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan menyindir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu selepas pemimpin itu dikatakan mengeluarkan kenyataan menyindir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Presiden kelab berkenaan, Razak Abas berkata, Mohamad Sabu atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berkaitan kerana beliau juga pernah mengalami kekalahan dalam PRU.

 

Semalam, akhbar ini melaporkan Mohamad mempertikaikan kegagalan Abdul Hadi menawan Terengganu, selain menyindir tindakan Presiden Pas itu yang mahu keluar daripada pakatan pembangkang.

 

Antara kata-kata Mohamad yang dianggap sebagai sindiran terhadap Abdul Hadi adalah:

 

“Pidatonya (Abdul Hadi) begitu hebat, ceramahnya, kuliahnya, Rusila (nama tempat di kawasan Parlimen Marang), kereta ‘parking’ berbatu, jadi macam pekan hari bila Tok Guru Abdul Hadi beri kuliah, tapi bila pilihan raya umum (tetap) tak boleh ambil Terengganu (daripada BN).

 

“(Sehinggalah pada) tahun 1999 kita berpakat dengan Parti Keadilan (Rakyat) (PKR), dapatlah kita memerintah Terengganu. Ertinya kita ambil Terengganu pun melalui pakatan. Bagaimana nak kuasa? Kita kena berpakat,” kata Mohamad yang dipetik pada ceramah isu semasa Pas di Tumpat pada Jumaat lalu.

 

Razak memberitahu, Mohamad pernah kalah dalam PRU 1982 di Dun Penanti, diikuti kekalahan kepada rakannya daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Permatang Pauh pada PRU 1986.

 

“Beliau (Mohamad) juga kalah kepada Datuk Razali Ismail dari BN dengan majoriti 628 undi ketika bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 2008.

 

“Beliau hanya menang selepas mencuba nasib pada PRU 1990 di Parlimen Nilam Puri dan pada PRU 1995 bagi kerusi Parlimen Kubang Kerian,” katanya ketika ditemui di Rantau Panjang, semalam.

 

Razak yang kecewa dengan kenyataan dikeluarkan Mohamad menggesa perwakilan membuat pilihan bijak pada Muktamar Pas yang akan berlangsung di Kuala Selagor pada Jumaat dan Sabtu ini.

 

Tambahnya, pemimpin Pas tidak sepatutnya menghentam sesama sendiri, lebih-lebih lagi presiden parti dan sebarang pendapat perlu dikeluarkan secara dalaman, bukan secara umum, terutama ketika menjelang Muktamar Pas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.