Remaja Rohingya Dipukul Hingga Cacat

BUTTERWORTH – “Yusuf dipukul sampai cacat ketika berada di kem dalam hutan sebelum dibebas selepas suami saya bayar RM2,000 kepada ejen,” kata Rokiah Abdul Hamid, 26, wanita Rohingya yang menetap di negara ini.

 

Beliau berkata, Yusuf Abdul Majid, 17, ditinggalkan di tepi jalan di Alor Setar oleh sindiket yang membawa masuk remaja Rohingya itu ke negara ini selepas suami Rokiah membayar wang yang diminta untuk menyelamatkan Yusof.

 

Yusuf, yang baru dua bulan diselamatkan dan kini tinggal bersama keluarga Rokiah di sini, tidak boleh berbahasa Melayu. Remaja yang dahulunya dikatakan sihat dan sempurna itu kini lumpuh.

 

Rokiah yang dilahirkan di negara ini, berkata atas dasar kemanusiaan dan simpati, suaminya membayar wang yang diminta ejen untuk menyelamatkan Yusof yang dikatakan tidak mempunyai saudara mara di sini, selepas ibu Yusuf meminta pertolongan mereka.

 

“Dia (Yusuf) dibawa ke Siam, lepas tu dia orang bawa ke Malaysia…kalau yang ada saudara (di sini) dia orang (sindiket) ambil RM6,000 atau RM7,000.

 

“Kalau yang tak ada saudara atau orang nak tolong bayarkan, dia orang mati kat sana…ada yang dijual, perempuan di tempat pelacuran, yang laki-laki dijual kepada kapal tangkap ikan di Siam,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sebuah perkampungan yang menempatkan ramai rakyat Myanmar keturunan Rohingya di sini.

 

Beliau berkata, Yusuf ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan lemah dan tidak boleh berjalan.

 

“Sepuluh bulan dia dalam hutan, dia dipukul sampai cacat. Dia orang tak bagi tahu yang dia (Yusuf) sudah cacat…kalau tak ada orang nak ambil, dia orag tak bagi makanan, dekat hutan dia orang simpan tak bagi jalan,” katanya.

 

Beliau berkata, semua urusan untuk menyelamatkan Yusuf dibuat melalui telefon dan bayaran dibuat melalui bank.

 

“Selepas bayaran dibuat, dia orang cakap tempat tu ada lu punya orang, lu orang pergi ambil,” katanya.

 

Seorang lagi remaja Rohingya yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia, Mohamad Salim Huson Ahmad, 16, berkata beliau nekad meninggalkan kampung kelahirannya kerana kehidupan di sana amat susah.

 

Mengimbas kembali detik perjalanan ke Malaysia setahun lepas, Mohamad Salim berkata ia bukanlah sesuatu yang mudah.

 

“Mereka (sindiket) letak saya tiga bulan dalam hutan di Thailand sebelum bawa saya ke Padang Besar. Mereka minta RM6,500 tapi saya tak ada duit.

 

“Mereka minta saya telefon keluarga untuk bayar duit, tapi saya cakap saya tak ada duit, makan pun susah. Lepas itu mereka pukul saya,” katanya.

 

Tidak tahan dengan keadaan di kem transit yang menempatkan pendatang Rohingya, Mohamad Salim mengambil keputusan untuk melarikan diri sebelum ditahan oleh pihak Imigresen di Alor Setar, Kedah.

 

“Saya pada masa itu tidak takut apa-apa. Saya hanya takut pada Allah sahaja,” katanya yang kini merupakan pemegang kad UNCHR dan bekerja di kedai membaiki pendingin hawa sejak tiga bulan lepas.

 

Seorang lagi remaja Rohingya yang ditemui, Rahimullah Mohammad Leddu, 18, pula berkata beliau lebih rela ditahan polis atau Imigresen daripada pulang ke Myanmar.

 

“Saya tak nak balik, kalau saya balik mesti saya mati. Kalau polis atau Imigresen tangkap, mereka akan tolong,” katanya yang juga pemegang kad UNCHR. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.