PAS Perlukan Presiden Muka Baru, Kata Nizar Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Menjelang pemilihan Pas Khamis depan, kem yang pro-DAP atau lebih dikenali sebagai kelompok Anwarinas di dalam Pas semakin mempergiatkan serangan ke atas Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Dalam siri serangan terbaharu, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin secara terbuka menyatakan selepas muktamar, Pas perlu diwakili oleh presiden serta barisan pimpinan baharu yang mendukung pakatan.

 

Beliau yang turut bertanding Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, individu yang memperkecilkan rakan pimpinan dalam pakatan terutama pemimpin DAP tidak layak untuk dikekalkan dan perlu digantikan dengan muka baharu.

 

Kenyataan keras tanpa berselindung itu hanya berselang sehari selepas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sendiri mula melemparkan kritikan serta sindiran secara terbuka ke atas Abdul Hadi.

 

“Selepas muktamar apa yang saya mahu lihat ialah muka presiden yang baharu. Presiden perlu baharu dan barisan kepimpinan juga perlu muka baharu. Pas perlu dipimpin oleh ulama (tetapi) siapa ulama itu? Dia ialah Ustaz Ahmad Awang.

 

“Dia (Abdul Hadi) boleh cakap Arab, Ahmad Awang juga boleh bercakap Arab tapi dia boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, Abdul Hadi tidak boleh,” katanya dalam forum ‘Mampukah Pas Dilonjakkan Pasca 2015’ di sini malam semalam.

 

Selain bekas Menteri Besar Perak, forum tersebut turut menampilkan Ahmad yang akan bertanding menentang Abdul Hadi serta bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammmad Mohd. Taib.

 

Kelmarin, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika berceramah di Tumpat menyindir ketuanya itu sebagai seorang yang hanya hebat berpidato tetapi gagal dalam pilihan raya.

 

Beliau dipetik sebagai berkata: “Pidatonya (Abdul Hadi) begitu hebat, ceramahnya, kuliahnya di Rusila kereta ‘parking’ berbatu…jadi macam pekan sehari, tapi bila pilihan raya tetap tidak boleh ambil Terengganu daripada BN (Barisan Nasional)”. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.