Naikkan Gaji Pekerja Tempatan Sebelum Gaji Pembantu Rumah

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengutamakan kajian terhadap kenaikan gaji minimum pekerja tempatan dahulu sebelum menerima kewajaran cadangan Indonesia yang meminta kenaikan gaji pembantu rumah negaranya yang bekerja di sini daripada RM800 kepada RM1,200.

 

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, jumlah yang dicadangkan Indonesia itu tidak munasabah untuk dilaksanakan berikutan masih ada sebilangan pekerja tempatan yang dibayar dengan gaji kurang daripada RM900 sebulan oleh majikan.

 

“Contohnya terdapat sebahagian pekerja di hotel dan sektor swasta tertentu masih menerima gaji kurang daripada RM900. Namun mereka tidak mendapat ke­adilan sewajarnya kerana tiada undang-undang khusus ditubuhkan.

 

“Jika nasib pekerja tempatan begini, jadi tiada kewajaran untuk kerajaan menaikkan gaji pembantu rumah dari Indonesia kerana kebajikan rakyat lebih menjadi keutamaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Nadzim berkata demikian berhubung cadangan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, yang meminta kerajaan mengkaji secara menyeluruh tentang cadangan Indonesia supaya gaji pembantu rumah negara itu di Malaysia dinaikkan daripada RM800 kepada RM1,200 sebulan.

 

Tambahnya, gaji yang diterima pembantu rumah Indonesia ketika ini sudah mencukupi dan jumlah itu tidak perlu ditambah kerana ia setimpal dengan bidang tugas mereka.

 

“Jumlah gaji yang diterima mereka setimpal dengan perkhidmatan diberikan selain kemudahan tempat tinggal dan makanan percuma diberikan oleh majikan. Lagipun jika jumlah tersebut dinaikkan belum tentu majikan mampu membayarnya kerana ia mahal.

 

“Ada sebahagiannya tidak terlatih dengan bidang tugas kerja mereka seperti mengemas rumah dan memasak sehingga mendatangkan beban dan masalah kepada majikan,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, cadangan gaji baharu untuk pembantu rumah itu tidak wajar dikaji oleh kerajaan memandangkan pelbagai kemudahan telah disediakan oleh majikan kepada mereka.

 

“Pembantu rumah dari Indonesia perlu bersyukur dengan wang yang dibayar majikan sehingga kini. Selain mendapat gaji yang setimpal mereka juga disediakan tempat tinggal, makanan dan pakaian yang selesa oleh majikan.

 

“Jika gaji dinaikkan kepada RM1,200, ia belum lagi menjamin kualiti dan cara kerja mereka yang memuaskan,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.