Lelaki Maut Dekat Stesen ERL Bukan Penumpang Tapi Penceroboh

Cheras – Lelaki yang dijumpai mati dekat Stesen Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) Bandar Tasik Selatan pagi semalam ialah seorang penceroboh dan bukan penumpang.

 

Dalam satu kenyataan malam tadi, ERL berkata mangsa dipercayai telah menceroboh masuk ke dalam kawasan trek berpagar dan tiada tiket ERL mahupun dokumen pengenalan diri ditemui padanya.

 

Mayat lelaki itu dikesan oleh pemandu kereta api ERL pada pukul 9.11 pagi tadi di KM7.2, kira-kira satu kilometer dari Stesen Bandar Tasik Selatan.

 

“Kami ingin menjelaskan bahawa lelaki itu bukan penumpang seperti disebutkan dalam beberapa laporan-laporan berita,” menurut ERL.

 

Perkhidmatan ERL yang tergendala pada sebelah pagi disambung semula pada jam 1.40 tengah hari semalam dan tiada gangguan selanjutnya dijangka berlaku pada jadual perjalanan kereta api itu.

 

ERL menasihatkan orang ramai supaya tidak memasuki kawasan landasan berpagar untuk keselamatan.

 

ERL berkata melintas atau berjalan di atas trek landasan adalah amat berbahaya kerana kereta api ERL bergerak senyap semasa di atas trek dengan berkelajuan tinggi.

 

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin berkata insiden itu berlaku pada 9.30 malam semalam apabila lelaki tidak dikenali itu maut selepas digilis oleh ERL yang dalam perjalanan ke Stesen KL Sentral.

 

Beliau berkata beberapa bahagian tubuh mangsa telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.