Jangan Main-Main Aspek Keselamatan Negara

Kuala Lumpur – Kerajaan digesa agar melihat semula struktur keselamatan negara membabitkan pelbagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengendalikan kes pemerdagangan manusia khususnya etnik Rohingya yang semakin berlanjutan sehingga hari ini.

 

Pakar Forensik Kriminologi, Datuk Akhbar Satar berkata, kes berkenaan sebenarnya sudah lama berlaku dan perlu diatasi dengan segera.

 

“Kita harus melihat isu ini secara keseluruhan. Dadah pun pernah diseludup ke negara kita.

 

“Mereka yang dipertanggungjawabkan menjaga sempadan sendiri pun tidak tahu peranan mereka.

 

“Ini adalah masalah keselamatan negara. Jangan main-main.

 

“Bukan dadah sahaja masuk, manusia pun diseludup masuk. Kita kena tengok dari banyak sudut sama ada organisasi, kemampuan dan undang-undang,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.

 

Menurutnya, tembok di sempadan perlu dibina lebih kukuh agar ancaman terhadap negara menerusi pencerobohan orang luar dapat disekat.

 

“Kerajaan sebelum ini sudah berjanji mahu membina satu tembok di sempadan tapi masih belum dilaksanakan,

 

“Begitu juga tembok saja pun tidak cukup tapi tengok kepada siapa yang menjaga,” katanya.

 

Beliau mengulas lanjut susulan laporan media mengenai penemuan kubur besar di Wang Kelian dan Padang Besar yang menimbulkan isu negara dalam aspek keselamatan.

 

Tambahnya, mereka yang menjaga sempadan harus mempunyai integriti yang tinggi.

 

“Isu keselamatan negara, tidak boleh bertolak ansur,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.