CYBERJAYA : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa belum tiba masanya untuk menentukan calon ‘poster boy’ bagi mana-mana negeri, termasuk Sabah, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, keutamaan ketika ini adalah memastikan kemenangan calon-calon BN, dan soal individu yang akan memimpin kerajaan negeri hanya akan ditentukan selepas keputusan pilihan raya diketahui.
“Saya fikir eloklah jika soal pemilihan Menteri Besar atau Ketua Menteri kita kemudiankan… pastikan kemenangan calon yang akan diketengah,” katanya ketika ditemui di Jempol hari ini.
Memetik laporan oleh BERNAMA , Zahid berkata bahawa satu garis panduan telah diberikan kepada kepimpinan UMNO Sabah dalam pertemuan yang diadakan semalam sebagai persediaan menghadapi PRN.
“Saya sendiri akan berunding dengan kepimpinan UMNO Sabah bagi menentukan siapa yang boleh diterima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri dan siapa yang boleh mengetuai kerajaan negeri apabila jumlah kerusi diperoleh paling banyak oleh mana-mana kumpulan parti di Sabah,” jelasnya lagi.
Zahid berkata demikian selepas menghadiri Majlis Lembaran Kasih Aidilfitri Bersama Warga Felda di Padang Awam Palong 3, yang turut dihadiri anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz, dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Kenyataan itu hadir sebagai reaksi kepada cadangan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, yang menyuarakan sokongan agar Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dijadikan ‘poster boy’ BN bagi PRN Sabah akan datang.
Mengulas perkara tersebut, Ahmad Zahid berkata beliau menghormati pandangan itu namun menegaskan bahawa masa yang sesuai untuk menamakan individu tertentu sebagai ‘poster boy’ masih belum tib