BATU CAVES: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan melahirkan rasa kesal terhadap penggunaan istilah “kuil haram” oleh agensi kerajaan, menyifatkannya sebagai tidak sensitif dan mencerminkan kegagalan memahami sejarah kehadiran komuniti India di Malaysia.
Memetik laporan Malaysiakini, Saravanan menegaskan bahawa jika istilah seperti “pendatang haram” terhadap warga asing pun dianggap menghina dan tidak wajar digunakan, maka label “kuil haram” terhadap tempat ibadat masyarakat India adalah jauh lebih tidak berpatutan.
“Kerajaan sensitif apabila kita menggunakan perkataan haram terhadap warga asing, tapi masyarakat India bekerja keras lebih 200 tahun membangunkan negara ini,” katanya dalam satu ucapan di sebuah kuil di Batu Caves, Selangor.
Bekas menteri itu menambah bahawa kemajuan Malaysia dalam sektor ekonomi, khususnya ketika era getah, tidak dapat dipisahkan daripada pengorbanan masyarakat India yang datang sebagai tenaga buruh.
“Adalah fakta Malaysia menjadi maju dengan menjual getah. Jika komuniti India tak datang ke Malaysia sebagai penoreh getah, Malaysia mungkin mengambil masa lebih panjang untuk maju seperti apa yang kita nampak hari ini,” ujarnya.
Saravanan turut menyatakan bahawa kuil merupakan pusat perpaduan bagi masyarakat India dan sejarah kewujudan rumah ibadat ini tidak pernah dipertikai sebelum ini.
“Masyarakat India bersatu padu kerana kuil, inilah tempat kita berkumpul. Dulu sejarah ini tak dipertikai, tapi dalam masa enam bulan ini, ia menjadi isu. Kami semua tahu siapa dan macam mana mereka buat ini,” katanya lagi.
Kritikan itu hadir susulan satu insiden melibatkan maklum balas rasmi daripada Timbalan Pengarah Hospital Taiping, yang merujuk sebuah rumah ibadat dalam kawasan hospital sebagai “kuil haram”.
Saravanan sebelum ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk segera mengarahkan semua agensi kerajaan menghentikan penggunaan istilah tersebut. Beliau turut menegaskan bahawa banyak kuil yang wujud hari ini telah lama dibina — ada yang sebelum penggubalan Kanun Tanah Negara 1965.