KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini merakamkan penghargaan kepada semua pekerja sempena sambutan Hari Pekerja 2025, dengan mengiktiraf peranan mereka sebagai tulang belakang pembangunan negara.
Dalam satu hantaran di Facebook, Fahmi menegaskan bahawa jasa dan sumbangan para pekerja sama ada dalam sektor awam mahupun swasta sangat penting dalam menjamin kemakmuran masyarakat serta kestabilan negara.
“Setiap titik peluh yang dicurahkan bukan sahaja menyara keluarga, tetapi turut menyumbang kepada kestabilan dan kesejahteraan negara,” katanya.
Beliau turut mengajak semua pihak untuk terus memperjuangkan hak serta kebajikan para pekerja, di samping membudayakan amalan kerja yang produktif, amanah dan berintegriti.
Fahmi turut menyampaikan penghargaan melalui tema “Pekerja Kesuma Bangsa”, sebagai lambang pengiktirafan terhadap peranan penting golongan pekerja dalam ekosistem negara Malaysia Madani.