CYBERJAYA : Umno Sabah optimis bahawa Barisan Nasional (BN) berpeluang besar untuk kembali menerajui pentadbiran negeri dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), berdasarkan perkembangan semasa yang menunjukkan peningkatan keyakinan rakyat terhadap gabungan itu.
Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, walaupun landskap politik Sabah sering dibandingkan dengan Sarawak yang lebih condong kepada parti tempatan, beliau percaya rakyat kini lebih terbuka terhadap kebangkitan semula BN.
“Alhamdulillah, kalau saya lihat sejak kebelakangan ini, walaupun banyak netizen mengatakan parti lokal itu lebih baik seperti di Sarawak.
Kita kena faham banyak perbezaan antara Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut beliau, kejatuhan BN di Sabah pada 2018 bukan berpunca daripada kekalahan mutlak dalam pilihan raya, tetapi lebih kepada peristiwa lompat parti selepas kemenangan, yang mengubah corak pentadbiran negeri.
“Kalau katakan mampukah BN menjadi tunjang selepas 2018? Insya-Allah PRN kali ini kemungkinan besar kita boleh jadi tunjang kerajaan.
Kerana apa? Kita bandingkan semasa kejatuhan BN di Sabah sebenarnya bukan kerana kita kalah tetapi kerana lompat parti,” ujarnya.
Suhaimi, yang juga Ahli Parlimen Libaran, menjawab persoalan mengenai potensi BN untuk meraih semula kepercayaan rakyat Sabah, walaupun sentimen terhadap parti tempatan semakin ketara sejak kebelakangan ini.
Buat masa ini, Umno-BN kekal sebagai pembangkang di peringkat negeri setelah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Januari 2023. Tindakan itu diambil atas dasar hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.