Ribuan Sertai Program Larian dan Kayuhan Sempena Sambutan UMNO Ke-71

TUMPAT – Ribuan ahli UMNO di Kelantan menyertai larian dan kayuhan bendera yang diadakan serentak hari ini di empat zon iaitu Tumpat, Rantau Panjang, Jeli dan Gua Musang, sempena sambutan Hari UMNO ke-71.

Dianggar lebih 10,000 ahli dan penyokong UMNO di Kelantan menyertai program itu yang akan berakhir Khamis ini dan diteruskan di Terengganu.

Di Tumpat, larian sejauh 30 kilometer membabitkan 3,000 peserta yang bermula di Pusat Daerah mengundi (PDM) Pengkalan Kubor pada jam 8.30 pagi. Ia turut disertai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz.

Rombongan larian dan kayuhan yang diketuai Mohd Rosdi itu tamat di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Pekan kira-kira jam 10.30 pagi diiringi dengan lagu UMNO.

Mohd Rosdi berkata, sempena sambutan Hari UMNO ke-71 itu, UMNO Tumpat sudah meraikannya sejak 29 April lalu dengan pelbagai aktiviti dan program dimulai dengan solat hajat, tahlil dan bacaan Yasin.

“Sepanjang tiga hari berlangsung, program berjalan lancar dengan masing-masing menunjukkan semangat kebersamaan yang tinggi dalam memberikan sokongan kepada parti.

“Jika komitmen dan momentum yang sebegini ditunjukkan, kita yakin bahawa Tumpat akan jadi milik Barisan Nasional (BN),” katanya kepada pemberita.

Larian dan kayuhan bendera UMNO oleh Bahagian Tumpat itu diteruskan di Kota Bharu dengan penyerahan bendera diterima oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin.

Sambutan Hari UMNO ke-71 peringkat negeri akan berakhir Khamis ini dengan penyerahan bendera UMNO di Kampung Pachakan, Pasir Puteh kepada wakil Terengganu akan disempurnakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.