Melayu Mana Lagi Yang Nak Sokong PAS, Soal Mahfuz Omar

ALOR SETAR — Datuk Mahfuz Omar kecewa dengan keputusan muktamar PAS kali ini apabila mengambil keputusan “berpisah” dengan PKR.

Bekas naib presiden PAS itu berkata perwakilan gagal memulihkan imej parti di kalangan pengundi Islam dan juga bukan Islam.

“Imej PAS telah tercalar. Sejak dari mula muktamar hingga penuh, makin keruh keadaan apabila dibuat usul putus hubungan dengan PKR,” katanya.

Keputusan Dewan Ulama dan Dewan Pemuda untuk memutuskan hubungan dengan PKR belum muktamad. Keputusan akhir ditetapkan oleh Majlis Syura nanti.

Mahfuz, wakil rakyat PAS yang semakin tersisih daripada parti itu atas sikapnya yang propakatan pembangkang, tidak yakin parti mampu menang jika sendirian.

“Melayu mana yang hendak sokong PAS? Orang-orang bekas ahli PAS pun sudah beralih arah kepada Parti Amanah, Parti Pribumi Bersatu dan PKR.

“Kalau kita harap undi [penyokong] Umno dahulu akan sokong PAS, tetapi mereka dah sokong Bersatu. Melayu mana lagi hendak undi PAS,” katanya.

Mahfuz bagaimanapun menyatakan kesetiaan kepada parti itu walau tidak dijemput menghadiri muktamar, lapor mStar Online.

Tambahnya, walau dipinggirkan PAS, perjuangannya untuk rakyat dan negara mengatasi segalanya.

“Bagi saya, kedudukan [dalam parti] tidak penting tetapi yang lebih penting adalah rakyat dan negara,” katanya.

“Tidak salah bagi ahli mendukung dan menyokong blok pakatan demi menolak Umno tanpa perlu keluar parti.” – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.