Komitmen ASEAN Bergerak Sebagai Satu Komuniti – PM

MANILA – Sidang kemuncak ASEAN ke-30 berakhir dengan komitmen mewujudkan visi ASEAN sebagai satu komuniti menjelang 2025, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan ASEAN berteraskan ke­sepaduan negara-negara anggota gagasan ini, dalam pelbagai forum serantau, yang menjadikan semua usaha dan keutamaan yang dilakukan, berpaksikan kerangka ASEAN.

“Apabila semua negara anggota bertekad mahu ASEAN menjadi gagasan yang kuat, kita dapati mudah untuk menyuarakan sesuatu pandangan dengan satu suara. Ini menyebabkan banyak kuasa luar mahu meningkatkan urusan de­ngan ASEAN.

“Apabila semua 10 buah negara ini bersepakat untuk bergerak sebagai sebuah komuniti secara bersepadu, pengaruh kita bertambah dan meluas lagi,’’ katanya pada sidang akhbar di akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 yang diha­dirinya di sini semalam.

Walau bagaimanapun untuk terus berjaya, Perdana Menteri berkata, ASEAN perlu meningkatkan nilai dagangannya daripada ekonomi bernilai AS$2.6 trilion kini kepada AS$9.2 trilion menje­lang 2050.

Untuk mencapai sasaran itu, katanya, usaha mengurangkan halangan dan langkah-langkah bukan tarif (NTB) dan (NTM) yang menjadi hambatan kepada perdagangan perlu dikurangkan.

Sejak tahun 2000 hingga 2015, NTB dan NTM di ASEAN telah meningkat daripada 1,634 kepada 5,975, katanya yang turut meng­usulkan satu sistem score card dibuat oleh setiap negara anggota untuk memastikan usaha mengurangkan halangan perdagangan dibuat.

Dalam sidang itu, Perdana Menteri turut memberitahu, Malaysia telah menandatangani satu dokumen yang mengiktiraf perkhidmatan awam sebagai institusi pen­ting bagi mencapai visi komuniti ASEAN 2025.

Katanya, ini adalah satu peng­iktirafan kepada perkhidmatan awam, di rantau ASEAN.

Selain itu, Najib turut memaklumkan beliau menghadiri persidangan ke-12 Kawasan Pertumbuhan ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMF-EAGA) dan sidang kemuncak ke-10 Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Pada persidangan itu, beliau te­­lah membentangkan kemajuan pro­­­jek yang sedang dilaksanakan di Malaysia termasuk projek Le­­buhraya Pan Borneo, projek men­­dalamkan Pelabuhan Teluk Se­panggar dan Lapangan Terbang Mukah.

Sidang kemuncak IMT-GT pula katanya, telah meluluskan visi IMT-GT membabitkan pelaksa­naan projek-projek infrastruktur yang bernilai AS$47 bilion di tiga negara.

Di Malaysia, katanya, ia terma­suk pembesaran kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar.– UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.