‘Wakil Suami’, Wakil Online’ Atau Wakil Rakyat?

KAWASAN Parlimen Rompin luas. Saiznya sebesar dua negeri, Negeri Sembilan dan Melaka yang dicantumkan.

 

Jadi, amat payah dan hampir mustahil untuk mendengar atau melihat kemungkinan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasan Ariffin dan Nazri Ahmad dari Pas terserempak atau bertembung.

 

Lain pula halnya dengan kawasan Parlimen Permatang Pauh. Suhaimi Sabudin dari BN boleh sahaja bertembung muka dengan pesaingnya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dari PKR serta dua lagi calon dari Parti Rakyat Malaysia dan bebas.

 

Perbezaan lebih besar lagi antara Rompin dan Permatang Pauh ialah Hasan anak tempatan.

 

Tidak mewakili kawasan DUN yang lain. Semasa Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis masih hidup, Hasan sentiasa berada disisi rakyat di Rompin.

 

Tetapi di Permatang Pauh, ahli parlimennya tidak nampak batang hidung. Dikatakan berlegar-legar di peringkat nasional sehinggakan kelibat amat susah dilihat di kawasan yang diwakili.

 

Sekejap bertanding, kemudian diserahkan kepada isteri. Apabila diperintahkan, si isteri akur dan serah balik kepada si suami. Suami ke penjara, tidak percayakan sesiapa daripada dalam parti sendiri, tetap nampak muka isteri, lantas diserahkan balik hak bertanding kepada isteri. Alahai.

 

Tetapi si isteri ada satu lagi kerusi DUN yang diwakilinya, iaitu DUN Kajang. Itu amanah dan kepercayaan rakyat yang tidak boleh diketepikan. Oh! tidak mengapa, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali boleh tengok-tengokkan rakyat di Kajang, katanya.

 

Rakyat di Kajang ibarat bola. Apabila diperlukan, dikejar, apabila tidak, bola dibiarkan di kaki rakan sepermainan. Malas nak dikejar.

 

Ke mana ADUN Kajang ketika ini? Sudahlah dipaksa ADUN Kajang sebelum ini meletak jawatan tanpa alasan munasabah, alasan tidak logik sama sekali dalam konteks demokrasi, tiba-tiba apabila diberi mandat, kelibat wakil rakyat menghilang, tidak muncul-muncul di Kajang.

 

Dan sibuk pula mengejar undi di Permatang Pauh. Bukankah nanti payah hendak menguruskan dua kawasan yang jaraknya hampir 300 kilometer.

 

Benar! boleh uruskan rakyat melalui online atau atas talian. Kalau macam itu, elok jadi wakil rakyat online sahajalah.

 

Nanti, kelak jadi seperti pepatah Melayu – ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

 

Orang Permatang Pauh terutama pengundinya yang seramai 72,000 orang termasuk 40 peratus orang muda mesti renung-renungkan hal ini.

 

Memang seronok dan bernostalgia dengan seseorang individu. Tetapi sampai bila mahu beralaskan sentimen simpati dan kasihan.

 

Perkhidmatan seorang wakil rakyat mesti realistik. Bukan ber­etorik sepanjang masa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.