Video: Program Dr Mahathir Di USM Membosankan?

Bukit Gelugor – Forum “Cakna Ilmu: Mendepani Pemikiran Tun M” yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, hari ini disifatkan sebagai membosankan apabila topik yang dikupas oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu lebih menjurus kepada isu-isu luar negara.

 

Rata-rata mahasiswa yang hadir ketika ditemui menyifatkan ia agak hambar kerana gagal menarik tumpuan mereka yang hadir.

 

 

Malah ada dikalangan mahasiswa yang hadir pada pagi itu turut terlena apabila moderator dilihat terlalu asyik dengan soalan-soalan yang dianggap ‘klise’.

 

“Kami mengharapkan forum pada kali ini membicarakan isu-isu semasa, politik kampus, kesan GST terhadap ekonomi negara, serangan yang dilemparkan terhadap kepimpinan negara dan sebagainya.

 

“Namun saya melihat moderator lebih seronok membangkitkan isu mengenai sejarah dan pengalaman Tun Dr Mahathir,” katanya ketika ditemui namun enggan mendedahkan identitinya.

 

Forum anjuran Majlis Perwakilan Pelajar USM itu diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra dan dihadiri hampir 1,800 orang pelajar.

 

Menurut pelajar Sarjana Pendidikan USM, Noratasya Muda, beliau sedikit kecewa kerana moderator lebih banyak mengutarakan soalan berkaitan pengalaman Dr Mahathir mentadbir kerajaan berbanding isu-isu semasa yang lebih mencabar.

 

“Tun banyak berbicara mengenai pengalaman beliau sebagai seorang Perdana Menteri, tapi mungkin ada sedikit (isu semasa) yang disentuh tapi tidak terlampau mendalam” katanya ketika ditemui sejurus selepas forum tersebut diadakan.

 

Sementara itu pelajar dari Fakulti Pusat Pengajian Komunikasi USM, Fazli Hisyam Ismail mendakwa forum tersebut seharusnya membicarakan isu berkaitan politik agar mahasiswa diberikan sedikit pendedahan mengenainya.

 

“Sebelum datang ke sini (forum anjuran MPP) saya berfikir Tun akan bercakap tentang mahasiswa (mengenai) kehidupan di universiti itu sendiri.

 

“Sebenarnya mahasiswa tidak perlu terlalu mengutamakan politik kampus tetapi bagi pendapat saya sebagai mahasiswa kita perlu sedikit ruang untuk kita (mahasiswa) memahami apa itu politik kampus,” ujarnya pula.

 

Terdahulu Dr Mahathir ketika menjawab soalan berkaitan pendidikan negara berkata, tidak dapat dinafikan Malaysia mempunyai dasar pendidikan yang agak terbaik kerana 25 peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada sektor itu berbanding hanya tiga peratus yang disalurkan di negara lain.

 

Katanya dasar pendidikan di Malaysia dari segi perbelanjaan memang tepat dan baik kerana hasilnya dapat dilihat dengan lahirnya ramai siswazah profesional seperti doktor.

 

Bagaimanapun, Dr Mahathir berpendapat ada kekurangan dalam pendidikan umpamanya pelajaran Sains dan Matematik patut diajar dalam bahasa Inggeris kerana ilmu itu berubah mengikut aliran masa.

 

“Sains ini tiap hari ada penemuan baharu yang perlu kita tahu dan kita tak dapat kejar sains ini dalam bahasa Melayu. Bukan saya tak sayang kepada bahasa saya tetapi bila kita belajar ia bukan tumpu kepada pelajaran bahasa sahaja, ia tertumpu kepada penguasaan ilmu,” katanya lagi.

 

Beliau berkata penyemaian nilai hidup yang mulia dalam kalangan anak-anak juga perlu supaya seseorang itu menjadi bertanggungjawab dan tidak menimbulkan masalah kepada masyarakat.

 

Dr Mahathir turut menasihati para siswazah supaya melengkapi diri dengan segala kebolehan ilmu dan kecekapan untuk menghadapi cabaran bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara.

 

“Keadaan di seluruh dunia meruncing, di mana-mana tempat ekonomi merosot. Untuk ini kita perlu menentukan kita mempunyai kebolehan menghadapi cabaran ini. Jadi apabila kita berpeluang mendapat pelajaran maka perlu beri tumpuan dan bersungguh-sungguh.

 

“Tujuan memiliki ilmu kerana ia memberi kekuatan kepada kita mengejar apa yang ada di hadapan kita. Jadi kita kena tumpu sepenuh masa dan tenaga kepada penguasaan ilmu bukan hanya kejar orang di hadapan dalam negara tetapi di negara lain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.