Video: PKR Tidak Perlukan Manifesto Di Permatang Pauh – Azmin Ali

Permatang Pauh – Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata parti itu tidak memerlukan sebarang manifesto untuk menang dalam pilihanraya kecil (PRK) Permatang Pauh yang akan diadakan 7 Mei ini.

 

Azmin yang juga merupakan Menteri Besar Selangor berkata, kerajaan negeri pimpinan DAP di Pulau Pinang telah melaksanakan semua program pembangunan sejak tahun 2008.

 

 

“Manifesto apa, kita telah adakan program-program yang berjalan dengan baik sejak 2008… jadi bagi PKR (pembentangan) manifesto semata-mata untuk (menang) pilihnaraya kecil Permatang Pauh tidak diperlukan.

 

“(Ini) kerana kerajaan negeri Pulau Pinang telah memikul tanggungjawab ini untuk membangunkan negeri termasuk di Permatang Pauh dan saya kira ia (pembangunan) akan diteruskan” katanya kepada wartawan sejurus selepas program bersama pengundi di Padang Taman Guar Perahu, lewat malam tadi.

 

Calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini tercengang ketika diajukan soalan berhubung janji-janji yang akan dilakukannya jika diberi peluang menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

 

Beliau yang merupakan Presiden PKR dilihat cuba mengelak untuk mengulas lanjut mengenai isu berkenaan sambil menyatakan mahu menunggu manifesto yang akan dilancarkan Barisan Nasional (BN).

 

“Manifesto? Oh…tak apa, kita tunggu BN dulu,” katanya pada sidang media di Yayasan Aman di sini, Khamis.

 

BN semalam melancarkan manifesto PRK Permatang Pauh sebagai aku janji bagi memenuhi keperluan rakyat yang selama ini agak ketinggalan berikutan krisis yang dihadapi wakil rakyat terdahulu.

 

Enam teras dalam manifesto bertemakan ‘Melakar Sejarah Baru’ itu ialah ekonomi, pendidikan, kesihatan, program kesejahteraan rakyat luar bandar, pembangunan komuniti dan keselamatan.

 

Antaranya, di bawah teras ekonomi, BN bercadang menyediakan kemudahan mikro kredit khas bagi peniaga di Permatang Pauh, penubuhan Pusat Penjanaan Usahawan Kecil dan Sederhana, serta mengusahakan peluang pekerjaan baharu bagi belia.

 

Di bawah teras pendidikan pula, BN bercadang membina sekolah agama berasrama penuh serta memastikan peruntukan sewajarnya untuk semua jenis sekolah di Permatang Pauh dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang.

 

Beliau berhadapan dengan saingan empat penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin, Azman Shah Othman dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon Bebas, Salleh Isahak.

 

Pada Rabu lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman meminta PKR mengumumkan manifesto mereka sekiranya jujur untuk berkhidmat kepada penduduk di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.