Harga Kad Prabayar Kekal

Putrajaya – Arahan supaya semua sya­rikat telekomunikasi mengekalkan harga kad prabayar dengan harga asal berkuatkuasa esok, ditangguhkan.

 

Ketua Pengarah Ja­ba­tan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Da­­tuk Seri Khazali Ahmad dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, penangguhan itu se­laras dengan pengumu­man Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memaklumkan kajian berhu­bung layanan cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap perkhidmatan kad prabayar masih dijalankan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.

 

“Selaras dengan pengumuman SKMM yang memaklumkan kajian mengenai layanan GST masih dijalankan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi, maka arahan Ketua Pengarah JKDM bertarikh 28 April 2015 kepada syarikat-syarikat itu mengenai layanan GST ke atas perkhidmatan kad pra­bayar yang akan berkuatkuasa pada 1 Mei 2015 adalah ditangguhkan,” katanya.

 

Dalam sidang akhbar semalam, Khazali mahu semua syarikat telekomunikasi me­ngekalkan harga asal kad prabayar berdasarkan kepada konsep `tax inclusive’ (termasuk cukai) berkuat kuasa 1 Mei ini, seperti rejim cukai sebelum ini.

 

Surat arahan berhubung perkara berkenaan telah dihantar kepada semua syarikat telekomunikasi pada 28 April lalu bagi memastikan syarikat-syarikat itu patuh dengan arahan tersebut.

 

Berdasarkan arahan itu, setiap harga kad prabayar telah termasuk GST dan kaedah tersebut sama seperti penguatkuasaan cukai perkhidmatan di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 1975 tanpa sebarang caj tambahan.

 

Itu bermakna, sekiranya harga kad prabayar itu RM10 akan kekal RM10 (termasuk GST).

 

Walau bagaimanapun, Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr. Halim Shafie dalam satu kenyataan semalam pula menegaskan harga kad tambah nilai prabayar telefon bimbit akan terus dijual dengan penambahan enam peratus GST.

 

Ini kerana, sebarang keputusan tentang harga tambah nilai itu hanya dikeluarkan pada minggu depan selepas satu kajian yang dilaksanakan oleh pembekal-pembekal komunikasi berhubung perkara itu disiapkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.