10 Dipenjara Seumur Hidup Kerana Serang Malala

Mingora – Seramai 10 militan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, atas kesalahan terbabit dalam menyerang aktivis remaja Pakistan, Malala Yousafzai, pada 2012.

 

Pendakwa raya, Sayed Naeem memberitahu, sebuah mahkamah di Pakistan mengumumkan keputusan itu di sebuah lokasi tidak diketahui, atas sebab keselamatan.

 

“Setiap militan dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun. Ia adalah hukuman penjara seumur hidup untuk 10 militan yang dihadapkan ke sebuah mahkamah anti pengganas,” katanya.

 

Di Pakistan, hukuman penjara 25 tahun dianggap hukuman penjara seumur hidup.

 

Malala ditembak di bahagian kepala oleh kumpulan Taliban Pakistan, ketika beliau dalam perjalanan pulang dari sekolah, kerana memperjuangkan kesaksamaan pendidikan buat kanak-kanak perempuan.

 

Malala pada mulanya dirawat di Pakistan, sebelum diterbangkan ke sebuah hospital di Britain, negara di mana beliau tinggal bersama keluarganya sekarang.

 

Susulan perjuangan gadis yang kini berusia 17 tahun itu, beliau telah dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel 2014.

 

Ketua Taliban, Mullah Fazlullah yang mengarahkan serangan itu, masih bebas bersama beberapa militan lain yang turut terbabit dalam serangan berkenaan.

 

Sepuluh militan yang dihadapkan ke mahkamah itu, ditahan pasukan tentera pada tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.