Rakyat Sepatutnya Desak Dedah Status Ion Logam Dalam Air Lombong

KUALA LUMPUR,(Bernama) — Beberapa pakar penyelidik air menggesa kerajaan negeri Selangor mendedahkan status kandungan ion logam berat dalam air lombong yang dipam ke Sungai Selangor untuk kegunaan penduduk di Lembah Klang.

Pada masa yang sama, mereka turut mendesak kerajaan negeri untuk membuktikan sebarang kelulusan daripada Kementerian Kesihatan berhubung tahap keselamatan air lombong yang dibekalkan kepada pengguna.

Ketua Pusat Penyelidikan dan Analisis Air (ALIR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Yang Farina Abdul Aziz berkata beliau memandang serius perkara ini kerana kandungan air lombong berkemungkinan boleh membahayakan kesihatan pengguna.

Dr Yang Farina berkata, walaupun pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menyatakan kandungan itu selamat setelah dikaji namun status itu perlu mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan.

“Air lombong memang ada ion logam berat, jadi sekarang saya sebagai orang ramai saya nak tahu air yang saya guna ini selamat atau tidak.

“Jadi kalau nak tahu selamat atau tidak seharusnya kena ada analisis yang terperinci oleh Jabatan Kimia dan pihak Kementerian Kesihatan dan bukannya daripada LUAS,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Yang Farina dalam pada itu turut menegaskan bahawa rawatan serta teknologi menapis air yang digunakan dalam loji rawatan air tidak berupaya untuk mengasingkan ion logam yang terkandung di dalamnya.

“Teknologi tapisan air yang dimiliki sekarang tidak sesuai untuk menapis logam berat, ia hanya sesuai digunakan untuk sumber air biasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff menjelaskan kandungan ion berat bukan sahaja boleh memudaratkan kesihatan malah ia juga boleh membawa maut, jika ia digunakan untuk satu tempoh yang berpanjangan.

Katanya, sekiranya terdapat kandungan ion logam berat yang berbahaya seperti plumbum’ atau arsenik, ia boleh mengakibatkan kanser darah dan kanser tulang.

“Sekiranya kepekatan plumbum dan arsenik melebihi 0.01 miligram (mg), mengikut kajian, pengguna boleh terdedah kepada penyakit kanser,” katanya.

Dalam pada itu Abdull Rahim turut menjelaskan antara kesan-kesan lain termasuklah merosakkan organ-organ penting seperti hati dan buah pinggang, di samping sistem saraf.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak turut berpendapat kerajaan negeri perlu mendedahkan terlebih dahulu kandungan ion logam berat dari lombong yang digunakan.

Beliau, yang merupakan seorang pakar dalam penyelidikan air lombong, turut berkongsi hasil penyelidikan beliau mengenai ikan-ikan yang dipancing di dalam bekas lombong.

Katanya hasil keputusan kajian itu, mendapati ikan-ikan yang dipancing di dalam bekas lombong mengandungi ion logam berat seperti plumbum dengan kadmium yang boleh menyebabkan keracunan kronik kepada mereka yang memakan ikan itu.

“Pada 2001, saya ada buat kajian mengenai lombong-lombong di sekitar Batu Caves dan hasilnya cukup mengejutkan apabila terdapat ion logam berat seperti plumbum dan kadmium.

“Sekiranya mereka yang memakan ikan tersebut dalam tempoh yang panjang, berkemungkinan mereka boleh mengalami kerosakan organ dalaman,” katanya.

Oleh itu, seharusnya kerajaan negeri Selangor melakukan pemeriksaan fizikal dan kimia jasad air, dan kepekatan ion logam berat daripada lombong tersebut dan mendedahkannya kepada pakar terlebih dahulu sebelum air berkenaan dipam ke sungai, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.