Peserta Perhimpunan Bantah GST Langgar Akta Perhimpunan Aman

Kuala Lumpur – Peserta perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (GST) mula berkumpul di lima lokasi di ibu negara dengan segelintir mereka dilihat melanggar syarat dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Sekalipun polis sudah berkompromi dengan membenarkan perhimpunan itu diadakan secara aman dan perlu mematuhi APA 2012, tinjauan Bernama mendapati ada segelintir daripada mereka membawa kanak-kanak dan kain rentang dan perbuatan itu jelas melanggar syarat-syarat dalam APA 2012.

Mereka yang terbabit dilihat mula berkumpul sejak 9.30 pagi di sekitar pusat beli belah Sogo, Masjid Negara, KLCC, Kampung Baru dan Dataran Maybank.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh dalam sidang medianya semalam memberi peringatan tegas kepada peserta perhimpunan dan pihak penganjur supaya mematuhi syarat APA 2012 demi keselamatan umum selepas mereka dibenarkan untuk berhimpun secara aman hari ini.

“Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan membawa kanak-kanak, pembesar suara, kain rentang dan senjata ketika perhimpunan sedang berlangsung,” katanya.

Antara kain rentang yang dibawa mereka tertera perkataan “GST Cukai yang melampau satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia”, “Tak nak GST” dan “TPPA makes Malaysia colony of USA” (TPPA menjadikan Malaysia tanah jajahan Amerika).

Tinjauan Bernama juga mendapati keadaan lalu lintas di sekitar ibu negara masih terkawal.

Setakat 11 pagi ini, jurucakap Polis Trafik Kuala Lumpur berkata tiada penutupan jalan dilakukan di ibu negara.

Turut kelihatan beberapa anggota polis mengadakan rondaan di kawasan-kawasan strategik di ibu negara dan kawalan ketat oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di lokasi perhimpunan iaitu di Dataran Merdeka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.