Mustafa Ali dan Ketua Pengarang Harakah Kena RM100,000 Fitnah FELDA

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pengarang Harakah serta tiga pihak lain diarah membayar ganti rugi RM100,000 kepada FELDA kerana memfitnah agensi itu menjual minyak sawit mentah kepada Israel.

FELDA berjaya tunjuk bukti 

 Arahan ganti rugi itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Lee Heng Cheong, selepas mendapati FELDA berjaya membuktikan ia tidak menjual minyak sawit mentah kepada Israel seperti didakwa semua defendan.


Heng Cheong mendapati dua artikel yang disiarkan lidah rasmi PAS, Harakah mengenai isu itu mampu menimbulkan fitnah terhadap agensi berkenaan.

Katanya, artikel itu didapati memfitnah FELDA dan semua defendan gagal membuktikan pembelaan keistimewaan bersyarat serta komen yang adil.

Selain Mustafa dan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, tiga defendan lain ialah pengarangnya, Taufek Yahya; penulis artikel Mohd Arif Atan dan pencetak, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd. 
Heng Cheong turut memerintahkan semua defendan membayar kos berjumlah RM30,000 kepada plaintif.

Beliau bagaimanapun menolak saman FELDA terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman selepas memutuskan Mazlan berjaya membuktikan pembelaan keistimewaan bersyarat dan komen yang adil berdasarkan isu kepentingan awam.

Heng Cheong sehubungan itu memerintahkan FELDA membayar kos RM30,000 kepada Mazlan.


Komen berbaur fitnah

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 7 Januari tahun lalu, FELDA mendakwa Mazlan (defendan pertama) memuat naik dalam laman Facebooknya pada 19 November 2012, gambar invois dan keterangan gambar yang berbaur fitnah, selain membuat kenyataan sama pada perhimpunan di hadapan pejabat FELDA empat hari kemudian.

FELDA mendakwa kenyataan itu diterbitkan semula oleh defendan kedua hingga keenam (Mustafa, Ahmad Lutfi, Taufek, Mohd Arif dan Angkatan Edaran Ent) dalam beberapa artikel Harakah antara 26 dan 29 November 2012.

Ia menegaskan kenyataan itu menjejaskan reputasi FELDA dan mendakwa defendan berbuat demikian dengan niat mencapai agenda peribadi untuk memusnahkan kepercayaan orang ramai terhadapnya.

Turut disaman FELDA ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berhubung artikel bertajuk 2,000 Himpun Bantah Felda Jual Minyak ke Israel dan BN Jangan Tipu Rakyat bertarikh 27 November 2012, yang disiarkan dalam Suara Keadilan.


Selesai saman cara baik

Bagaimanapun, pada 21 April lalu kes saman fitnah terhadap Saifuddin diselesaikan secara baik. Saifuddin bersetuju untuk menerima dan mengakui bahawa Felda IFFCO Oil Product Sdn Bhd membuat penghantaran ke Palestin dan bukan Israel dan tidak pernah menjual minyak sawit mentah kepada Israel atau mana-mana syarikat milik Israel.

Dalam penghakiman ringkasnya semalam, Heng Cheong berkata, FELDA berjaya membuktikan ia tidak menjual minyak sawit mentah kepada Israel.

Katanya, FELDA adalah satu entiti berasingan daripada FELDA Iffco Oil Product Sdn Bhd (FIOP) dan FELDA Global Ventures Downstream Sdn Bhd (FGVD) dan mahkamah mendapati FIOP tidak menjual minyak sawit mentah kepada Bunge Singapore Agribusiness Pte Ltd yang didakwa syarikat Israel.

FELDA diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala semua defendan diwakili peguam, Azhana Mohd Khairuddin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.